Oleh Dr Engku Ahmad Zaki
ZULHIJJAH adalah bulan kedua belas di dalam kalendar Islam hijrah dan satu bulan haram selain dari Muharam, Rejab dan Zulkaedah. Kelebihan bulan mulia ini disebutkan oleh Allah di dalam firman-Nya yang bermaksud: Sesungguhnya bilangan bulan di sisi Allah ialah dua belas bulan dalam Kitab Allah semasa Dia menciptakan langit dan bumi, antaranya empat bulan yang dihormati
Demikianlah agama yang lurus, maka janganlah kamu menganiaya dirimu dalam bulan itu; dan perangilah kaum kafir musyrik seluruhnya sebagaimana mereka memerangi kamu seluruhnya; dan ketahuilah sesungguhnya Allah berserta orang yang bertakwa. (Surah at-Taubah, ayat 36).
Zulhijjah bermaksud yang memiliki haji kerana ibadah haji ditunaikan di dalam bulan berkenaan. Amalan mulia ini dilakukan oleh Nabi Allah Ibrahim dan diteruskan oleh anak cucunya daripada keturunan Nabi Ismail berlanjutan hingga zaman Rasulullah. Kemuncak ibadah haji adalah pada hari Arafah iaitu hari kesembilan Zulhijjah yang digambarkan sebagai perhimpunan besar umat Islam yang teragung, lambang kesatuan akidah dan perpaduan, tanpa mengenal batasan pangkat dan harta, kesemuanya mengharapkan keredaan Allah.
Zulhijjah ini menghimpun pelbagai kelebihan dan keistimewaan yang disediakan oleh Allah bagi Muslim yang mengharapkan keredaan dan pengampunan Allah. Rasulullah bersabda yang bermaksud: Tiada suatu hari pun amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari ini, iaitu sepuluh hari Zulhijjah.
Sahabat Baginda bertanya: Apakah juga (pengecualian itu) termasuk jihad pada jalan Allah? Ujar Baginda: Tidak juga (termasuk) berjihad pada jalan Allah kecuali bagi sesiapa yang keluar dengan jiwa raga dan hartanya dan tidak membawa pulang apa-apa pun. (Hadis riwayat al-Bukhari).
Dalam hadis lain, Rasulullah pernah bersabda yang bermaksud: Tiada suatu hari pun, amalan kebaikan padanya mempunyai kelebihan melainkan pada hari sepuluh Zulhijjah ini, oleh kerana itu perbanyakkan ucapan tahlil (La Ilaha Illallah), takbir (Allahu Akbar) dan tahmid (Alhamdulillah). (Hadis riwayat Imam Ahmad).
Dalam pada itu, Rasulullah tidak ketinggalan menyatakan beberapa amalan yang sangat dianjurkan pada bulan ini, antara lain adalah:
l Menunaikan ibadah haji dan umrah sebaik-baik amalan.
l Berpuasa pada sepuluh hari pertama bulan Zulhijjah, terutamanya pada hari Arafah. Lebih-lebih lagi, puasa di antara amalan yang afdal dan amat disukai Allah sendiri. Rasulullah bersabda bermaksud: Puasa pada hari Arafah dengan penuh pengharapan keredaan Allah akan menghapuskan (dosa) setahun yang lalu dan setahun yang mendatang. (Hadis riwayat Muslim)
l Bertakbir (Allahu Akbar) dan membasahkan lidah dengan pelbagai jenis zikir pada sepuluh hari Zulhijjah. Firman Allah yang bermaksud, (Dan supaya mereka menyebut nama Allah pada beberapa hari yang termaklum). (Surah al-Haj, ayat 28).
Disyariatkan juga bertakbir pada hari yang mulia itu sama ada waktu siang atau malam terutamanya selepas menunaikan solat fardu (dikerjakan secara berjemaah). Bagi mereka yang tidak menunaikan ibadah haji, takbir bermula dari waktu Subuh hari Arafah dan bagi yang menunaikan haji, takbir bermula pada waktu Zuhur Hari Raya Haji pertama iaitu pada 10 Zulhijjah. Kesemuanya berakhir pada waktu Asar pada hari ke-13 Zulhijjah.
l Bertaubat dan seterusnya meninggalkan segala perkara maksiat dan dosa. Dalam masa yang sama, memperbanyakkan amalan baik dengan tujuan mencapai keampunan dan rahmat Allah.
Hal ini kerana maksiat adalah punca jauh dan terhindarnya seorang hamba daripada rahmat Allah, manakala ketaatan pula adalah punca dekat dan kasihnya Allah kepadanya. Dalam hal ini, Rasulullah bersabda yang bermaksud: Sesungguhnya Allah cemburu (tidak suka) apabila seseorang hamba-Nya melakukan perkara yang ditegah-Nya (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).
l Memperbanyakkan amalan salih terutamanya amalan sunat yang sangat dianjurkan seperti solat sunat, bersedekah, berjihad, membaca al-Quran, menyeru kepada kebaikan, mencegah kemungkaran dan sebagainya kerana kesemua amalan yang dilakukan pada hari berkenaan dilipatgandakan ganjarannya di sisi Allah.
Walau sekecil mana sekalipun amalan itu dilakukan tetapi ia lebih disukai Allah jika dibandingkan pada hari lain. Begitu juga amalan yang besar seperti berjihad pada jalan Allah yang dikategorikan di antara amalan paling afdal, namun ia tidak dapat mengatasi kehebatan ganjaran pahala disediakan Allah pada hari itu melainkan apabila kuda yang ditungganginya itu terbunuh dan darahnya keluar (dia cedera atau mati syahid).
l Disyariatkan kepada umat Islam yang berkemampuan untuk melakukan amalan korban pada Hari Raya Haji dan hari-hari Tasyriq yang berikutnya iaitu pada hari ke-11, 12 dan 13 Zulhijjah. Ia adalah sunah Nabi Allah Ibrahim selepas Allah mengujinya dengan perintah menyembelih anaknya, Nabi Ismail tetapi diganti dengan seekor haiwan (kibasy) untuk disembelih.
l Setiap Muslim hendaklah menunaikan solat Aidiladha berjemaah dan mendengar khutbah supaya mendapat pengajaran daripadanya. Sepatutnya setiap Muslim mengetahui hikmah di sebalik perayaan ini yang menyatakan kesyukuran melakukan kebaikan di samping menjauhkan diri daripada melakukan perkara mendatangkan kemurkaan Allah, seperti mengerjakan maksiat, menyombong diri, bertengkar, bermasam muka yang boleh menjadi sebab kepada terhapusnya amalan kebaikan.
Begitulah di antara kelebihan dan keistimewaan yang terhampar sepanjang Zulhijjah untuk direbut oleh setiap Muslim yang bertakwa. Mudah-mudahan setiap Muslim bersungguh-sungguh menjejaki keampunan Ilahi dan rahmat-Nya dengan menjunjung segala titah dan perintah Ilahi dan menjauhi segala larangan-Nya.
source: http://www.myqalam.net/
No comments:
Post a Comment