Friday, November 5, 2010

Hakikat Iman dan Hubungan Dengan Allah


Pengertian dan ciri-ciri Iman

Iman adalah membenarkan dengan hati, mengaku dengan aqal fikiran dan membuktikan dengan amalan-amalan. 

Iman yang benar meresap ke dalam hati dan bertakhta di jiwa, menggerakkan anggota zahir untuk melakukan ketaatan kepada Allah Subhanahuwata’ala, menjadikan perkara-perkara ghaib seperti syurga dan neraka seolah-seolah hadir di hadapan mata, memenuhkan jiwa dengan peranan tenang, tabah dan tetap pendirian. Orang-orang yang mempunyai iman seperti ini akan sanggup bekorban apa sahaja di jalan Allah Subhanahuwata’ala. Mereka bergantung, percaya, tawakkal, berharap, takut dan menyerah kepada Allah Subhanahuwata’ala. 

Kesan iman pada hati dan kehidupan

Apabila pengertian iman seperti di atas memenuhi hati seseorang muslim, maka jiwanya akan ringan melakukan apa sahaja bentuk ibadah dan ikhlas semata-mata kepada Allah Subhanahuwata’ala. Ibadah dan iman seperti ini mempunyai pengaruh dan kesan yang besar dalam kehidupan dunia dan akhirat. Kehidupan dunia akan dipenuhi dengan kebahagiaan, kegembiraan dan ketenangan yang meresap di seluruh pelusuk jiwa. Kegemilangan yang sungguh indah dan cahaya yang terang akan memenuhi hati seseorang muslim. Apabila cahaya batin ini bertambah sinarnya dan melimpah di wajah muslim, sinar yang dapat dilihat oleh orang-orang yang beriman sekali pun kulit muslim itu hitam atau sawo matang. Manakala di akhirat pula kemanisan iman ini akan dapat dirasakan lebih manis daripada madu.

Tanda kemanisan iman

Sebahagian daripada tanda-tanda lahir kemanisan iman ialah kecintaan seseorang mu’min untuk melakukan ibadah. Ia merasa selesa, tenang, rindu dan lapang melakukannya. Janganlah kita merasa pelik dan menganggap perkara ini hanyalah khayalan semata-mata. Ini kerana iman mempunyai kemanisan yang dapat dirasakan oleh roh sebagaimana lidah dapat merasakan kemanisan makanan. Hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam yang mulia telah menyebut, yang bermaksud: 

“Jika terdapat perkara ini pada seseorang, beliau akan merasakan kemanisan iman: Beliau mengasihi Allah dan Rasul-Nya lebih daripada segala sesuatu, beliau benci untuk kembali kepada kekufuran setelah dilepaskan Allah daripadanya sebagaimana benci dicampakkan ke dalam api neraka, beliau mengasihi seseorang bukan kerana sesuatu (kepentingan) tetapi hanyalah kerana Allah.”

Iman itu ada kemanisannya. Kemanisan tersebut akan bertambah apabila iman bertambah kuat.

Iman yang sempurna ialah iman tanpa ragu-ragu dan membuahkan jihad

Firman Allah Subhanahuwata’ala yang bermaksud :

“Sesungguhnya orang-orang yang beriman hanyalah orang-orang yang beriman kepada Allah dan Rasulnya kemudian mereka tidak ragu-ragu, dan mereka berjihad dengan harta benda dan jiwa raga mereka pada jalan Allah, mereka itulah orang orang yang benar.”
(Al-Hujurat : 15)

Hati yang beriman tanpa ragu-ragu ialah hati yang benar-benar yakin dan percaya kepada Allah dan rasul-Nya. Tasdiq atau keyakinan yang tidak bercampur syak dan tidak ada sedikit pun ragu-ragu. Juga tidak ada rasa tidak puas hati, rasa tidak layak, rasa lapuk dan rasa was-was terhadap din (agama atau sistem hidup) Allah Subhanahuwata’ala atau terhadap hukum-hukum Allah Subhanahuwata’ala. Keimanan di hati penuh yakin dan tidak bergoncang lagi.

Keimanan seperti inilah yang akan melahirkan jihad dengan harta benda dan jiwa di jalan Allah Subhanahuwata’ala sepertimana yang dinyatakan dalam ayat di atas. 

Inilah iman yang hakiki. Iaitu iman yang tidak sabar-sabar lagi untuk beramal, berjuang dan berjihad. Iman yang tidak rela dan tidak sanggup untuk memisahkan pemiliknya daripada apa yang ada di dalam jiwa dengan amalan hidup harian. Iman yang tidak sanggup lagi bercampur baur, bertolak ansur atau berkompromi dengan jahiliyah.

Antara ciri utama orang yang beriman dengan keimanan yang hakiki ialah ia sentiasa berhubung dengan Allah Subhanahuwata’ala. Hubungan yang betul dengan Allah Subhanahuwata’ala mempunyai makna yang sangat luas.

Makna Hubungan Dengan Allah

Hubungan manusia dengan Allah Subhanahuwata’ala, mengikut keterangan Al-Quran Al-Karim bermaksud supaya manusia menjadikan hidup, mati, solah dan segala ibadah semata-mata untuk-Nya. Firman-Nya yang bermaksud :

Katakanlah: Sesungguhnya solahku, ibadatku, hidupku dan matiku hanyalah untuk Allah, Rab alam semesta.
(Al-An’am: 162)

Hendaklah seseorang itu menyembah Allah Subhanahuwata’ala dengan penuh keikhlasan. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah berulang kali menerangkan pengertian hubungan hamba dengan Rabnya sehingga tiada setitik debu pun yang menutupi pengertian ini. 

Jika dilihat dengan lebih mendalam hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala itu bermakna (berdasar mafhum daripada beberapa hadith Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam): 

1) Takut akan Allah di tempat sunyi dan terang.
2) Yakini bahawa apa yang ada di Tangan Allah itu lebih terjamin daripada apa yang ada di tangan makhluk.
3) Menuntut keredhaan Allah meski pun ia mengundang kemarahan manusia.

Kita tidak boleh mencari keredhaan manusia dengan kemurkaan Allah Subhanahuwata’ala. 

Setelah terjalin rapi hubungan ini, segala kecintaan, perseteruan, pemberian dan tegahan adalah demi Allah Subhanahuwata’ala semata-mata tanpa dicemari oleh tujuan-tujuan lain. Inilah pengertian kesempurnaan hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala. Mafhum sebuah hadith:

“Sesiapa yang cintakan Allah, memberi kerana Allah dan mencegah kerana Allah, sesungguhnya telah sempurnalah imannya.”

Jalan Menguatkan Hubungan Dengan Allah

Tidak terdapat jalan lain untuk menimbulkan hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala melainkan satu sahaja. Seseorang insan hendaklah beriman dengan Allah Subhanahuwata’ala yang Esa sebagai Rab dan Ilah bagi dirinya dan bagi sekelian makhluk di langit dan bumi. Hendaklah manusia membersihkan hati daripada segala kekaratan syirik. Apabila dia dapat menyempurnakan semua ini, maka akan terjalinlah hubungan antaranya dengan Allah Subhanahuwata’ala. 

Ada pun untuk mengerat dan menguatkan hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala, terdapat dua jalan yang utama, iaitu:

1) Jalan kefahaman, berfikir dan beramal

Kaedah menguatkan hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala melalui jalan ini ialah dengan cara saudara tadabbur dan mempelajari ayat-ayat Al-Quran dan hadith-hadith Nabi Sallallahu’alaihiwasallam yang sahih dengan sedaya upaya dan mengamati berulang-ulang kali sehingga benar-benar faham. Seterusnya mencuba sedaya upaya untuk mengamalkannya di dalam kehidupan. 

Bandingkan apa yang difahami dari Al-Qur’an dan Al-Hadith dengan kenyataan dan amalan hidup saudara setiap hari. Perhatikan setiap sudut kehidupan - sampai ke tahap manakah saudara telah melaksanakan tuntutan-tuntutan Al-Qur’an dan Al-Hadith? Apakah pula kekurangan-kekurangan yang ada pada diri saudara? Sekadar mana saudara dapat memperelokkan realiti hidup saudara, maka sekadar itulah tahap hubungan saudara dengan Allah Subhanahuwata’ala. 

Namun, jalan berfikir ini tidak akan kekal lama sekiranya saudara tidak beramal dengan ikhlas. Segala ajaran Al-Qur’an dan Al-Hadith dilakukan dengan penuh kerelaan jiwa, di waktu senang dan susah, sunyi dan terang tanpa menghiraukan keuntungan dunia, malah hanya menghitung keredhaan Allah Subhanahuwata’ala. 

Seterusnya, saudara hendaklah meninggalkan sesuatu yang dibenci atau dilarang oleh Allah Subhanahuwata’ala di waktu sunyi dan terang dengan penuh rasa kebencian terhadap larangan itu. 

Janganlah saudara jadikan desakan duniawi sebagai motif untuk meninggalkan larangan Allah Subhanahuwata’ala. Saudara tinggalkan setiap larangan-Nya semata-mata kerana-Nya. Inilah jalan untuk meningkatkan darjat hubungan saudara kepada Allah Subhanahuwata’ala. Inilah jalan bagi orang-orang yang bertaqwa.

2) Jalan memperelokkan amalan

Jalan ini akan meningkatkan hubungan saudara dengan Allah Subhanahuwata’ala ke darjat ihsan (selepas darjat taqwa). Iaitu saudara memperelokkan setiap amalan saudara dengan cara mengamalkan keutamaan-keutamaan, perkara-perkara fadzilat dan sunat. Amalan-amalan sepereti ini adalah amalan-amalan yang dicintai oleh Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya. 

Pada masa yang sama, menjauhi perkara-perkara yang tercela (makruh) di sisi Allah Subhanahuwata’ala dan Rasul-Nya. Seterusnya janganlah saudara memandang ringan dan remeh terhadap amalan-amalan yang mendatang kebaikan (maslahah), meski pun ia kecil.

Saudara perlulah menjadi orang yang ringan beramal dalam pelbagai aspek yang melibatkan pengorbanan jiwa, harta, masa, usaha, fikiran dan perasaan. 

Di samping itu, saudara sentiasa beringat-ingat dan penuh insaf agar tidak tumbuh di dalam hati saudara rasa sombong, ‘ujub dan lupa diri. Jangan terlintas di dalam hati dan perasaan saudara seolah-oleh saudara telah berbakti dan berbudi kepada orang lain sehingga saudara patut dipuji. 

Sebaliknya mestilah saudara rasai bahawa saudara terlalu sedikit dan terlalu kurang melaksanakan kewajipan-kewajipan yang telah ditentukan Allah Subhanahuwata’ala. 

Kelemahan Iman dan Hubungan dengan Allah

Tabi’at iman dan hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala kadang-kadang kuat dan kadang-kadang lemah. Saudara hendaklah memahami tanda-tanda kelemahan iman dan hubungan dengan Allah Subhanahuwata’ala. Apabila saudara memahami, maka saudara seharusnya bertindak dengan tindakan-tindakan yang bertentangan dengan segala tanda kelemahan tersebut. Maka apabila saudara beramal dengan sesuatu yang berlawanan dengan tanda kelemahan iman, Insya-Allah iman dan hubungan saudara dengan Allah Subhanahuwata’ala akan terus terpelihara. Antara tanda-tanda itu ialah:

1) Melakukan kederhakaan dan amalan berdosa

Di kalangan orang-orang yang derhaka ada yang melakukan satu amalan kederhakaan secara terus-menerus dan ada pula yang melakukan berbagai-bagai amalan kederhakaan. 

Jika seseorang itu sering melakukan kederhakaan, maka kederhakaan itu boleh menjadi kebiasaan yang tidak dapat ditinggalkan. Seterusnya menjadikan hatinya keras daripada merasai kesan buruk kederhakaan itu. Akhirnya, pelakunya berani menderhaka secara terang-terangan, sehingga dia termasuk ke dalam golongan yang disebutkan di dalam hadith ini (yang bermaksud):
“Setiap umatku mendapat perlindungan afiat kecuali orang-orang yang terang-terangan. Dan, sesungguhnya termasuk perbuatan terang-terangan jika seseorang melakukan suatu perbuatan pada malam hari, kemudian dia berada pada pagi hari, padahal Allah telah menutupinya, namun dia berkata, ‘Hai fulan, malam tadi aku telah berbuat begini dan begini’, padahal Rab-nya telah menutupinya, namun kemudian dia menyelak sendiri apa yang telah ditutupi Allah pada dirinya.”
[Riwayat Bukhari]

2) Merasakan adanya kekerasan dan kekakuan dalam hati.

Kerana adanya perasaan keras dan kaku, menjadikan seseorang merasakan seakan-akan hatinya telah berubah laksana batu keras yang hampir mustahil diusik dan dipengaruhi oleh sesuatu apa pun. Ini berlaku kerana ia lupa dan tidak ingat (berzikir) kepada Allah Subhanahuwata’ala. Allah Subhanahuwta’ala berfirman yang bermaksud :

“Kemudian setelah itu, hatimu menjadi keras seperti batu, bahkan lebih keras lagi.”
[Al-Baqarah: 74]

Orang yang hatinya keras tidak mampu dipengaruhi dengan nasihat tentang kematian. Tidak pula terpengaruh tatkala dia melihat orang mati atau mayat yang membujur. Bahkan boleh jadi dia sendiri yang mengangkat mayat itu dan meletakkannya di liang kubur, tetapi langkah-langkah kakinya di antara sekian banyak kuburan tidak ubah seperti langkah-langkah kakinya di antara longgokan-longgokan batu.

3) Tidak tekun dan hilang khusyu’ dalam beribadah

Antara tanda lemah iman ialah tidak khusyu’ dan hilang tumpuan semasa solah, membaca Al-Qur’an, berdoa dan lain-lain. Tidak menyemak dan memikirkan makna-makna doa, sehingga ia membacanya hanya sekadar rutin yang membosankan. Boleh jadi, oleh kerana doa yang dibacanya hanya terbatas kepada doa-doa tertentu sahaja, maka ia tidak merasa perlu untuk memikirkan makna-maknanya. Padahal Allah Subhanahuwata’ala tidak menerima doa yang dibaca ala kadar sahaja, sebagaimana yang disebut dalam sebuah hadith (yang bermaksud):

“Tidak akan diterima doa dari hati yang lalai dan main-main.”
[At-Termizi]

4) Malas melakukan amal taat dan meremehkan ibadah.

Orang yang lemah iman, kalau pun melakukan ibadah, maka ia lakukan sekadar aktiviti kosong tanpa roh. Allah Subhanahuwata’ala telah mensifati orang-orang munafik dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan, apabila mereka berdiri untuk solah, mereka berdiri dengan malas.”
[An-Nisa’: 142]

Termasuk juga dalam kelompok meremehkan ibadah ialah sikap tidak memperdulikan tanda-tanda kebaikan dan waktu-waktu yang tepat untuk beribadah. Pada masa yang sama tidak ghairah untuk mendapatkan pahala daripada Allah Subhanahuwata’ala. Contohnya, menunda-nunda perlaksanaan haji padahal ia mampu, mundur daripada medan peperangan dan hanya duduk di rumah dan menangguh-nangguh ikut solah berjamaah. 

Orang yang lemah iman sebegini, perasaannya sama sekali tidak tersentuh jika ia tertidur hingga meninggalkan solah wajib. Begitu juga jika ia ketinggalan melakukan solah sunat rawatib atau wirid. Ia juga tidak berhasrat untuk menqadha atau menggantikan apa yang ketinggalan itu. Bahkan boleh jadi ia sengaja meninggalkan amalan sunat atau fardhu kifayah. Gambaran ini bertentangan dengan orang-orang yang disifati Allah Subhanahuwata’ala di dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Sesungguhnya mereka adalah orang-orang yang selalu bersegera dalam (mengerjakan) perbuatan-perbuatan yang baik dan mereka berdoa kepada Kami dengan harap dan cemas. Dan, mereka adalah orang-orang yang khusyu’ kepada Kami.”
[An-Anbiya’: 90]

Bermacam-macam lagi tanda-tanda kemalasan seperti malas dalam melaksanakan ibadah-ibadah rawatib, solah malam, solah dhuha, solah-solah nafilah dan melengah-lengahkan usaha datang ke masjid. Hatinya sama sekali tidak terketuk untuk melakukan semua itu.

5) Dada terasa sesak dan terbelenggu

Orang yang lemah iman akan merasakan seolah-olah wujud beban yang berat menghimpitnya. Ia cepat menjadi resah dan gelisah kerana suatu masalah yang remeh dan jauh daripada merasai lapang dalam hatinya. Ini berlaku kerana ia menurut hawa nafsu dan tidak menguatkan keazaman untuk bersabar. Rasulullah Sallallahu’alaihiwasallam telah mensifati iman sebagai berikut:

“Iman itu ialah kesabaran dan kelapangan hati.”
[As-Silsilah As-Sahihah]


6) Hati tidak tersentuh dengan ayat-ayat Al-Quran

Hati yang lemah tidak akan tersentuh dengan janji, ancaman, perintah, pengisahan kiamat dan lain-lain di dalam Al-Quran. Orang yang lemah imannya akan menjadi bosan dan malas untuk mendengar kandungan isi Al-Quran. Ia tidak berusaha untuk membuka dirinya agar berhubung secara langsung dengan Al-Quran. Sekiranya ia membuka mushaf, isi kandungannya tidak diperhatikan dan tidak diberikan perhatian.

7) Lalai daripada mengingati Allah sewaktu berzikir dan berdo’a

Berzikir menjadi satu pekerjaan yang berat baginya. Jika ia mengangkat tangannya untuk berdo’a, maka secepat itu pula ia menelangkupkan tangannya dan menamatkan doanya. Allah Subhanahuwata’ala telah mensifati orang-orang munafik dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan, mereka tidak menyebut Allah kecuali hanya sedikit sekali.”
[An-Nisa’: 142]

8) Tidak merasa tergugah dengan tanggungjawab untuk beramal demi kepentingan Islam. 

Orang yang lemah iman tidak mahu berusaha untuk menyebarkan Islam dan menolongnya. Keadaan ini sangat jauh berbeza dengan para sahabat Nabi Sallallahu’alaihiwasallam.

Seorang pemuda, Ibnu Amr Radhiallahu‘anhu, terus beranjak melakukan dakwah kepada kaumnya sebaik sahaja beliau memasuki Islam. Namun majoriti orang-orang Islam di zaman ini hanya suka duduk senang dan tidak memiliki rasa tangunggjawab untuk melakukan dakwah meski pun sudah sekian lama menjadi muslim.

Bertindak dan bersikaplah dengan perkara-perkara yang berlawanan dengan tanda-tanda kelemahan iman itu agar iman saudara terus terpelihara dan kuat. Derhaka lawannya ta’at. Malas lawannya rajin. Hati yang keras kerana lupakan Allah hendaklah dilembutkan dengan berzikir kepada Allah. Hati yang lalai dalam beribadah hendaklah dilatih agar khusyu’ kepada-Nya. 

Wa Allah hu alam..........Perkongsian ini akan diteruskan.

No comments:

 


Design by: Blogger XML Skins | Distributed by: Blogger Templates | Sponsored by Application Monitoring