Oleh MOHD. NORZI NASIR
SEBAHAGIAN daripada keutamaan dan kurniaan yang Allah SWT berikan kepada sekelian hamba-Nya adalah dijadikan musim atau masa-masa tertentu bagi hamba-hamba-Nya yang soleh untuk meningkatkan kualiti amalan dan integritinya.
Bulan Zulhijjah merupakan bulan ibadah yang penuh dengan pengertiannya yang tersendiri. Di dalamnya terkandung perkara kelima dalam rukun Islam iaitu ibadah haji.
Jika setiap jemaah haji atau tetamu Allah menyempurnakan ibadah haji atau manasik mereka di padang Arafah pada 9 Zulhijjah berlandaskan sabda Rasulullah yang bermaksud, “Haji itu Arafah”, maka umat Islam lainnya di luar Tanah Suci melengkapi ibadah mereka dengan melakukan ibadah korban atau udhiyyah bermula 10 Zulhijjah.
Udhiyyah bermaksud menyembelih haiwan daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu, biri-biri dan kambing pada Hari Raya Haji atau yaum al-Nahr pada 10 Zulhijjah dan pada hari-hari tasyriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Korban lambang ketaatan hamba
Ibadah korban merupakan gambaran praktikal dari keikhlasan, ketaatan dan ketulusan hati yang tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail kepada Allah Yang Maha Kuasa.
Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. In sya Allah, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar. Lantas Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta Kami kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian. (al-Soffaat: 101-108)
Ikhlas kerana Allah
Daripada Aisyah r.a., Nabi bersabda: “Berkorbanlah kamu dengan hati yang reda, sesungguhnya tiap-tiap muslim yang menghadapkan sembelihannya ke arah kiblat, maka darahnya, kotorannya dan bulunya itu adalah kebajikan dan bakti kepada timbangannya pada hari kiamat”. (riwayat al-Baihaqi)
Dengan menyembelih binatang ternakan sebagai korban, seorang muslim telah merelakan sebahagian harta yang dimilikinya sebagai merealisasikan keikhlasan, ketaatan dan rasa kesyukuran melalui nikmat yang telah diberikan oleh Allah.
Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad) kebaikan Yang banyak (di dunia dan di Akhirat). Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur). (al- Kauthar: 1-2)
Misi sosial sesama hamba
Ibadah korban tidak hanya mengandungi dimensi ketaatan dan taqarrub seorang hamba kepada Khaliqnya (Allah) malah terkandung di dalamnya misi sosial sesama hamba.
Kesediaan seseorang hamba untuk melakukan korban mencerminkan wujudnya pengakuan dalam dirinya akan hak-hak saudara muslimnya yang lain seterusnya dapat membugar tingkat sosial yang tinggi dalam masyarakat.
Rasulullah SAW melarang keras golongan berharta (golongan kaya) yang memiliki kemampuan melakukan ibadah korban tetapi enggan menunaikannya untuk bersama-sama menunaikan solat Aidiladha bersama jemaah di masjid.
Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memiliki kemampuan (dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah ) dan tidak menyembelih, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami”. (Riwayat Ibn Majah dalam Sunannya)
Ukuran kemampuan tidak berdasarkan kekayaan yang dimiliki. Namun ia merujuk kepada kemampuan setiap individu iaitu setelah memenuhi keperluan rutin hariannya dia masih mempunyai lebihan wang untuk melakukan korban.
Golongan berkemampuan sebaliknya dianjurkan supaya mengagihkan dan memberi daging-daging sembelihan kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti golongan fakir-miskin, saudara Islam yang sedang ditimpa musibah dan anak yatim dan selain mereka.
Firman Allah yang bermaksud: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta itu ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Setelah ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami memudahkannya untuk kamu (menguasai dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. Daging dan darah binatang qurban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah. Tetapi, yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (al-Haj: 36-37)
Melalui penerimaan daging-daging korban sudah pasti akan terpancar rasa kasih sayang sesama insani. Golongan fakir yang dahulunya tidak pernah berkemampuan untuk mendapatkannya dek harganya yang mahal akhirnya mengecapi nikmat tersebut.
Golongan yang berkemampuan pula akan bertambah tingkat kesyukuran mereka kepada Allah. Justeru ikatan yang terjalin sesama manusia hablum minan nas akan melahirkan satu struktur masyarakat yang kuat, berperibadi luhur, adil, sejahtera.
Sebagaimana sedekah, zakat dan ibadah sosial yang lain, ibadah korban mampu membersihkan sifat mazmumah seperti bakhil, ‘ujub, dan takbur bagi golongan berkemampuan, dan perasaan cemburu dan hasad dengki bagi golongan fakir dan yang tidak berkemampuan.
Korban dari lisan Nabi SAW
Dari Al-Barra’ ibn ‘Azib r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Empat jenis binatang yang tidak dianjurkan dalam ibadah korban iaitu buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak mampu berjalan dan tidak mempunyai lemak (kurus)”. (riwayat Abu Dawud di dalam Sunannya)
Jundub ibn Abdullah ibn Sufyan al-Bajali r.a berkata: Nabi SAW menunaikan solat pada hari al-Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu menyembelih (bintang) korbannya lantas bersabda: “Sesiapa yang menyembelih sebelum solat Aidiladha, sembelihlah yang lain sebagai penggantinya dan sesiapa yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama Allah”. (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya)
Jabir r.a berkata: “Aku bersama Nabi SAW solat Aidiladha di musolla. Ketika selesai berkhutbah, baginda turun dari mimbar lalu dibawakan seekor kambing lantas baginda SAW menyembelihnya dengan tangannya sendiri sambil berkata: “Bismillah wallahu Akbar”. Ini daripadaku dan daripada umatku yang belum menyembelih”. (riwayat Abu Dawud di dalam Sunannya)
Anas r.a berkata: Rasulullah pernah melakukan korban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama Allah dan bertakbir sambil meletakkan kaki baginda pada lambung kedua-duanya. (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya)
Daripada Jabir bin Abdullah r.a, katanya: Kami pernah menyembelih korban bersama-sama Rasulullah pada tahun perjanjian Hudaibiah untuk korban seekor unta atau korban seekor lembu, kami bersekutu tujuh orang. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya)
Sabda Rasulullah SAW: Makan dan simpanlah serta sedekahkan daging korban itu. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya)
Atha’ ibn Yasar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansari perihal cara melakukan ibadah korban pada zaman Rasulullah. Lantas Abu Ayyub menjawab: “Dahulu seseorang melakukan korban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain”. (riwayat al-Tirmizi di dalam Jami’nya)
Pendek kata, ibadah korban merupakan gambaran praktikal dari keikhlasan, ketaatan dan ketulusan hati yang tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail kepada Allah Yang Maha Kuasa.
No comments:
Post a Comment