عَنْ عبدِ الله بنِ عبَّاسٍ رضي الله عنهما قالَ : كُنتُ خَلفَ النَّبيِّ - صلى الله عليه وسلم - فقال :(( يا غُلامُ إنِّي أعلِّمُكُ كَلماتٍ : احفَظِ الله يَحْفَظْكَ ، احفَظِ الله تَجِدْهُ تجاهَكَ ، إذا سَأَلْت فاسألِ الله ، وإذا استَعنْتَ فاستَعِنْ باللهِ ، واعلم أنَّ الأُمَّةَ لو اجتمعت على أنْ ينفعوك بشيءٍ ، لم ينفعوك إلاَّ بشيءٍ قد كَتَبَهُ الله لكَ ، وإنِ اجتمعوا على أنْ يَضرُّوكَ بشيءٍ ، لم يضرُّوك إلاَّ بشيءٍ قد كتبهُ الله عليكَ ، رُفِعَتِ الأقلامُ وجَفَّتِ الصُّحُفُ . [رواه الترمذيُّ ، وقال : حديثٌ حسنَ صَحيحٌ ]
Maksud hadith:
Dari Abdullah bin Abbas –radiyallahu anhuma- telah berkata: Adalah aku berada di belakang Nabi s.a.w., lalu baginda bersabda: Wahai budak! Sesungguhnya aku ingin mengajar kamu beberapa kalimah (ajaran agama): Jagalah Allah, (nescaya) Dia akan jaga kamu. Jagalah Allah (nescaya ) kamu akan dapati Dia di hadapan kamu. Apabila kamu meminta, maka mintalah kepada Allah, apabila kamu memohon bantuan maka mohonlah kepada Allah. Ketahuilah sesungguhnya jikalau seluruh umat berkumpul untuk memberi sesuatu manfaat kepada kamu, nescaya mereka tidak berupaya untuk memberi manfaat kepada kamu melainkan apa yang telah di tetapkan oleh Allah kepada kamu. Dan sekiranya umat berkumpul untuk memudaratkan kamu, nescaya mereka tidak mampu memudaratkan kamu melainkan apa yang telah di takdirkan Allah ke atas kamu. Telah di angkat pena-pena dan telah di tetapkan takdir-takdir.
[HR Al-Tirmiziy –Dan beliau berkata: hadith ini Hasan soheh]
Pengajaran hadith:
1. Abdullah bin Abbas ketika kisah ini berlaku masih kecil iaitu kurang dari sepuluh tahun. Ketika ini beliau menaiki unta bersama Rasulullah s.a.w. di bahagian belakang.
2. Ini menunjukkan Rasulullah s.a.w. mesra kanak-kanak. Walaupun baginda seorang pemimpin agung dan RasuluLLah, tetapi baginda tidak segan untuk berkenderaan bersama kanak-kanak bahkan baginda pernah solat sambil mendukung cucu baginda Umamah. Baginda juga berhenti berkhutbah apabila melihat cucu-cucunya Hasan dan Husin merangkak, lalu turun dari mimbar untuk mengambil dan mendukung mereka sambil meneruskan khutbah.
3. Rasulullah s.a.w. adalah murabbi yang terbaik, baginda tidak pernah membuang masa dan peluang yang ada melainkan akan menggunakannya untuk mengajar dan mendidik manusia.
4. Waktu dan peluang yang paling sesuai dan berkesan untuk mendidik ialah ketika kanak-kanak iaitu ketika jiwa kanak-kanak masih bersih dari kekotoran dan hati masih lembut.
5. Proses pendidikan tidak semestinya berlaku secara formal atau di dalam kelas atau masjid sahaja. Tetapi ia boleh berlaku secara informal tanpa mengira waktu atau tempat. Ketika berkenderaan, ketika makan, ketika sedang solat, ketika berkhutbah, di waktu tengah malam dan sebagainya.
6. Perkara yang asas dan paling penting dalam pendidikan ialah akidah. Rasulullah mengajar kanak-kanak akidah yang penting iaitu jaga hukum Allah, maka Allah akan jaga keselamatan dan keamanan kamu.
7. Hadith ini merangkumi asas-asas penting dalam agama sehingga kata sebahagian ulama: Aku memerhati dalam hadith ini, maka ianya sungguh menakjubkan dan hampir-hampir menjadikan aku bingung. Oh alangkah dukacitanya disebabkan kejahilan dan kurangnya kefahaman manusia tentang maksud hadith ini.
8. Maksud "Jagalah Allah .." ialah jaga segala hukum agama dengan mengikut segala perintah Allah dan meninggal segala larangan-Nya.. Barangsiapa yang melaksanakan perintah Allah dan meninggal segala larangan-Nya setakat yang termampu, maka ia akan di jamin keselamatan hidupnya, keluarganya, hartanya dan yang lebih penting daripada semua itu ialah imannya akan di jaga oleh Allah dalam apa keadaan sekalipun.
9. Antara hukum Allah yang paling besar dan penting di pelihara ialah solat. Firman Allah ta'ala yang bermaksud :
" Jagalah kamu akan solat lima waktu dan solat pertengahan".
[Al-Baqarah:238]
Sabda Rasulullah s.a.w. :Barangsiapa yang memelihara solat lima waktu, adalah baginya di sisi Allah janji untuk memasukkannya ke dalam syurga.
[HR Ahmad, Abu Daud, Al-Nasai'e, Ibn majah dan sohehkan oleh Ibn Hibban].
10. Wajib juga menjaga anggota badan daripada melakukan perkara yang haram khususnya dua anggota utama iaitu mulut dan kemaluan (nafsu syahwat). Sabda Rasulullah s.a.w. :
Barangsiapa menjaga apa yang di antara dua janggutnya (mulut) dan apa yang di antara dua kakinya (kemaluan), maka ia pasti masuk syurga.
[Hadith soheh-Riwayat Al-Hakim, Al-Tirmiziy dan Ibn Hibban]
11. Wajib menjaga mata dan telinga daripada melihat dan mendengar perkara yang haram. Firman Allah ta'ala yang bermaksud:
Katakanlah (Wahai Muhammad) kepada orang-orang yang beriman, hendaklah mereka menundukkan pandangan mereka (daripada melihat perkara haram) dan hendaklah mereka menjaga kemaluan-kemaluan mereka. [Al-Nur :30]
Firman Allah ta'ala yang maksudnya:
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati-hati kesemuanya akan di persoalkan (tentang peranan masing-masing). [Al-Baqarah:235]
Sesungguhnya pendengaran, penglihatan dan hati-hati kesemuanya akan di persoalkan (tentang peranan masing-masing). [Al-Baqarah:235]
12. Maksud "Allah menjaga kamu.." ialah : Barangsiapa yang menjaga batas-batas agama, hak-hak Allah maka Allah akan menjaga dirinya, anak isteri, harta bendanya dan lebih penting daripada itu ialah Allah menjaga agama dan imannya.
13. Antara contoh-contoh mereka yang di jaga oleh Allah di semua keadaan ialah:.
i. Kisah Ashabul Kahf yang tidur dengan nyenyak dan aman selama 390 tahun di dalam gua bersama anjing dan mereka ketika itu sedang di buru oleh musuh.
ii. Kisah Hajar dan Anaknya Nabi Ismail –alayhissalam- yang di tinggalkan oleh Nabi Ibrahim –alayhissalam- di bumi yang kering kontang, tidak ada tempat tinggal, manusia, tumbuh-tumbuhan, makanan dan air. Tetapi mereka selamat di beri rezeki dan di jaga oleh Allah.
iii. Kisah Nabi Yusof –alayhissalam- yang di campak ke dalam telaga oleh adik beradiknya ketika berumur 12 tahun, kemudian di pungut oleh pedagang dan di jual sebagai hamba, lalu di beli oleh al-Azizi (pembesar Negara). Setelah menjadi budak suruhan beliau di fitnah oleh isteri al-Aziz tetapi di pelihara oleh Allah dari fitnah tersebut. Friman Allah ta'ala yang bermaksud:
"….Demikianlah (takdir Kami) untuk menjauhkan dari Yusof perkara-perkara yang tidak baik dan perbuatan keji, kerana sesungguhnya ia adalah dari hamba-hamba Kami yang dibersihkan dari segala dosa. [Yusof: 24]
Firman Allah ta'ala yang bermaksud:
"…….Sesungguhnya Allah telah menganugerahkan nikmat-Nya ke atas kami. Sebenarnya sesiapa yang bertaqwa dan bersabar, maka sesungguhnya Allah tidak mensia-siakan pahala orang-orang yang berbuat kebaikan. [Yusof: 90]
iv. Nabi Muhammad s.a.w dan Abu Bakar r.a. di pelihara oleh Allah daripada kejahatan musyrikin Makkah ketika berada dalam gua Thur bahkan Nabi s.a.w. merasa tenang dan selamat walaupun musuh berada di luar pintu gua. Firman Allah ta'ala:
Maksudnya : " Ketika mana Ia berkata kepada sahabatnya : Janganlah kamu bersedih kerana Allah bersama (menjaga) kita. [Al-Taubah:40]
14. Antara contoh mereka yang tidak di jaga fizikalnya tetapi di jaga imannya ialah kisah Umar al-Khottob di saat kematiannya ketika di tikam, beliau masih mampu membaca ayat al-Quran dan bertanya tentang solat orang ramai seterusnya beliau mendirikan solat dan akhirnya beliau di beri syahid oleh Allah.
15. Kata Mujahid: Tidak ada seorang hamba pun melainkan ada seorang malaikat yang menjaganya ketika tidur dan ketika sedarnya daripada jin, manusia dan binatang. Maka tidak datang sesuatu pun kepadanya melainkan malaikat akan berkata: Itu di belakang kamu kecuali apa yang telah di di izinkan Allah.
16. Rasulullah s.a.w juga tidak pernah meninggalkan doa ini pada waktu pagi dan petang: “Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau ‘afiah (keselamatan) di dunia dan di akhirat. Ya Allah, sesungguhnya aku memohon kepada Engkau kemaafan dan ‘afiah (keselamatan) pada agamaku, duniaku, ahli keluargaku dan hartaku. Ya Allah, tutupkanlah auratku (keaibanku), amankanlah ketakutanku, peliharalah aku sama ada dari hadapanku, belakangku, kananku, kiriku dan atasku. Dan aku berlindung dengan kekuasaan-Mu daripada aku dikhianati daripada bawahku.” [Riwayat Ahmad]
17. Allah s.w.t akan menjaga hamba mengikut kadar kesolehannya (kebaikannya di dunia) selepas dia mati pada zuriatnya sebagaimana yang difirmankan oleh Allah Ta’ala: “Dan ibubapa mereka berdua adalah orang yang soleh…” [Al-Kahfi: 82] yang bermaksud: Mereka berdua dipelihara disebabkan kesolehan ibubapa mereka. Sa’id bin al-Musayyib berkata kepada anaknya: Aku akan tambahkan solat demi kerana engkau, dengan harapan aku dipelihara kerana engkau. ‘Umar bin Abdul Aziz berkata: Tidak ada seorang mu’min pun yang mati melainkan Allah akan menjaganya dan keturunannya selepas kematiannya.
18. Maksud jagaan Allah: Allah akan menjaga agama dan iman hamba-Nya, dan Dia akan menjaga kehidupannya daripada terjebak ke dalam perkara yang syubhat dan menyesatkan, dan daripada syahwat yang haram, dan menjaga agamanya ketika dia mati, kemudian Allah mematikan dia di dalam iman.
19. Di dalam al-Sahihain yang diriwayatkan oleh al-Barra’ bin al-‘Azib, Nabi s.a.w memerintahkannya untuk berdoa ketika hendak tidur: “Sekiranya Engkau pegang jiwaku maka rahmatilah ia. Sekiranya Engkau lepaskannya maka peliharalah ia sebagaimana Engkau memelihara hamba-hamba-Mu yang soleh.”
20. Nabi s.a.w pernah mengajar ‘Umar di dalam satu hadith: “Ya Allah , peliharalah aku dengan Islam sama ada dalam keadaan berdiri, duduk atau ketika tidur. Dan janganlah Engkau tundukkan musuh atau orang yang dengki kepadaku.” [Riwayat Ibnu Hibban di dalam Sahihnya]
21. Nabi s.a.w mengucapkan selamat tinggal kepada orang yang ingin bermusafir dengan berdoa: “Aku berdoa semoga Allah menjaga agamamu, amanahmu dan kesudahan amalanmu.” [Riwayat al-Nasa’ie]
22. Secara kesuluruhannya, Allah akan menjaga orang mu’min yang menjaga segala batas-batas agama yang telah ditentukan oleh-Nya, dan menghalang dirinya daripada tertipu dengan segala perkara yang boleh merosakkan agamanya, sebagaimana dalam kisah Nabi Yusuf ‘alayhissalam:
“Demikianlah Kami menjauhkan dirinya daripada kejahatan dan perkara yang keji. Sesungguhnya dia termasuk daripada hamba-hamba Kami yang ikhlas.” [Yusuf: 24]
23. Kata Ibnu Abbas ketika mentafsirkan firman Allah Ta’ala: “Sesungguhnya Allah menghalang di antara seseorang itu dan hatinya…” [Al-Anfal: 24], iaitu: Allah menghalang antara orang mu’min dengan perkara maksiat yang boleh mengheretnya ke Neraka.
24. Maksud “Jagalah Allah nescaya kamu akan mendapati-Nya di hadapan Engkau.” ialah: Sesungguhnya siapa yang menjaga batas-batas Allah, dan menjaga hak-hak-Nya, nescaya dia akan mendapati Allah bersamanya dalam setiap keadaan. Dia akan meliputinya (dengan rahmat), menolongnya, menjaganya dan meringankan (beban-bebannya), firman Allah Ta’ala: “Sesungguhnya Allah bersama dengan orang-orang yang bertaqwa dan orang yang selalu membuat kebaikan.” [Al-Nahl: 128]
Qatadah berkata: Siapa yang bertaqwa pada Allah, Dia akan ada bersamanya. Dan siapa yang Allah ada bersamanya, maka dia akan bersama dengan kumpulan tentera yang tidak akan kalah, pengawal yang tidak akan tidur, dan pemberi hidayah yang tidak akan menyesatkan.
25. Kebersamaan yang khusus ini juga membawa kepada bantuan, pertolongan dan jagaan daripada Allah. Maka barangsiapa yang menjaga Allah, menjaga hak-hak-Nya, dia akan mendapati-Nya di hadapannya dalam setiap keadaan, sebagaimana di dalam hadith: “Sebaik-baik iman ialah seseorang hamba itu dia mengetahui bahawa Allah sentiasa bersamanya (melihatnya) di mana sahaja ia berada.”
26. Ini bermakna kenalnya seseorang hamba itu kepada Tuhannya terbahagi kepada dua:
- Kenal Tuhannya secara umum, iaitu kenal dengan membenarkan Allah dan beriman dengan-Nya.
- Kenal dengan khusus: Iaitu cinta kepada Allah secara keseluruhannya, hidup semata-mata kerana-Nya, sentiasa merasai di temani-Nya, tenang apabila berzikir kepada-Nya, malu kepada-Nya, merasai kehebatan-Nya. Kata sebahagian ulama: Orang-orang yang miskin di dunia ialah mereka yang keluar daripada dunia tanpa merasai kemanisan yang terbaik di dunia,lalu di tanya: Apakah kemanisan itu? Jawabnya: Iaitu ma’rifatulLah Azza wa Jalla.
1 comment:
Alhamdulillah , perkongsian panjnag lebar yang sangat bermanfaat , terima kasih.
Post a Comment