Friday, December 31, 2010

Jangan Sombong Dengan Takdir


Oleh: Ustaz Pahrol Mohd Juoi

Kebelakangan ini saya kerap  dihujani panggilan telefon menceritakan pelbagai masalah. Terus terang  ada masalah yang diluahkan itu, juga masalah yang saya hadapi sendiri.  Saya bukan insan serba baik dan sempurna.

Selalu saya katakan, saya seorang  daie yang sedang bermujahadah – berusaha membaiki diri dan usaha itu  dikongsi untuk membaiki orang lain. Di kesempatan ini, saya hulurkan  tulisan yang saya cuba alirkan dari hati. Dengan doa dan harapan agar  bergunalah untuk dijadikan panduan (ataupun sempadan) buat pembaca.

Terimalah kata pengukuhan dan pencerahan ini...

Jangan Sombong Dengan Takdir

Jika hendak dikirakan 'beriman' dengan  Allah, iblis laknatullah sepatutnya lebih tinggi imannya kepada Allah.  Masakan tidak, dia pernah berdialog dengan Allah (dialog yang telah  dirakamkan dalam Al-Quran). Dia percaya kepada syurga dan neraka. Bukan  sahaja percaya bahkan telah melihatnya. Syaitan yakin tentang adanya  Hari Pembalasan.

Iblis

Hendak diukur dari segi ibadah, ya ibadah iblis  begitu hebat. Puluhan ribu tahun sujud, rukuk dan membesarkan Allah  hingga terlantik sebagai ketua malaikat. Cuma satu... syaitan kecundang  kerana tidak dapat menerima takdir Allah.

Takdir yang menentukan Adam dipilih  menjadi Khalifah dan dia diperintahkan sujud lambang hormat kepada Allah  dalam mentaati Allah. Syaitan tidak boleh menerima takdir ini. Mengapa  dia yang dijadikan daripada api (sedangkan Adam hanya daripada tanah),  mengapa dia yang lebih 'senior' dalam ibadah dan hiraki kepimpinan tidak  terpilih menjadi khalifah, sedangkan Adam hanya 'pendatang' baru yang  diciptakan terkemudian?

Iblis sombong kerana tidak menerima  ketentuan takdir. Dan dia terhina kerana itu. Lalu kita siapa yang mampu  menidak dan meminggirkan takdir? Allah itu Maha Besar, qudrat dan  iradatnya tidak akan mampu kita nafikan. Jika cuba menafikan, kita akan  terhina... seperti terhina iblis. Dilaknat dan dimasukkan ke neraka...  kerana gugur sifat kehambaannya!

Takdir Dan Iman Kita

Dalam episod hidup, takdir datang  menguji kita. Mengapa aku mendapat suami yang begini? Mengapa isteriku  tidak sebegitu? Kenapa ketua aku orang semacam dia? Kenapa anak aku cacat?  Mengapa isteri tersayang aku pergi dulu? Kenapa aku tidak kaya-kaya lagi  walaupun telah berusaha?

Bila masalah melanda kita merasakan kitalah  yang paling menderita. Mengapa aku yang tertimpa nasib begini? Mulut  berbicara mengaku Allah itu Tuhan kita tetapi mengapa kehendak-Nya kita  tidak rela? Benarnya, masalah, ujian dan cabaran dalam hidup itu sangat  berkaitan dengan iman.

Iman iblis hancur berderai bila diuji  dengan takdir. Ego terpendamnya selama ini terserlah. Terbakar hangus  seluruh ibadah yang dibinanya ribuan tahun. Aduh, bagaimana pula kita  yang iman hanya setipis kulit bawang dan ibadah yang hanya sekelumit  ini? Pujuklah hati, terima takdir itu dengan rela.

Katakan,  "ya Allah...  sungguh sakit, sungguh perit, tapi apakan daya, aku hamba-Mu, Kau lebih  tahu apa yang terbaik untukku berbanding diriku sendiri. Ya Allah,  jangan Kau serahkan aku kepada diriku sendiri walaupun sekelip mata.  Tadbirku seluruh dan sepenuh sujud pada takdir-Mu."

Takdir Mengatasi Tadbir

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir  daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang  takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan  terjadi. Namun acapkali takdir dan tadbir bersalahan, maka terjadilah  apa yang kita tidak inginkan.

Kita ingin putih, hitam pula yang  menjelama. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika  itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena? Semuanya telah  kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bungan  'pemberontakan' dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan Tuhan  yang Perkasa. Samada disedari atau tanpa disedari...

Takdir daripada Allah mengandungi banyak  hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang  kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa.

Ilmu semata-mata  tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapai-kapai dalam ujian  hidup tanpa pedoman yang tepat. Justeru dengan akal semata-mata kita  tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak  sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan  aku telah berusaha?

Carilah Hikmah di Sebalik Ketentuan

Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka  kita mesti berusaha mencari hikmah-hikmah yang terkandung dalam  ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu)   dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di  dalam cubaan dan bala yang menimpa dirinya. Kata orang, hanya  jauhari mengenal manikam.

Orang yang begini akan menjangkau hikmah  di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik  yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat  lemah-lembut Allah lekang daripada segala bentuk takdir-Nya – samada  yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia. Ertinya,  mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah  bermaksud baik. Jika  sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermaksud jahat dalam  takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya  pendek.

Apa Khabar Iman Anda?

Mengapa terjadi demikian? Sebab iman  belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam erti kata  yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah  sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang  ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu,  seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang  ujian dalam hidupnya.

Bagaimana kita dapat meringankan beban  hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang  hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan.  Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan  berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa,  hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah  bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.

Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan  Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap  apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad  (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti  ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati  terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan  Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum  mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.

Bersangka Baik Dengan Allah


Katalah kita ditimpa penyakit atau  kegagalan... itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti.  Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran  yang besar di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada  Cat Steven... yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat  hidayah dan akhirnya memeluk Islam? Dan betapa ramai pula yang gagal  pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih  kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah  kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang  ditangguhkan!

Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan  bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah.  Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya  kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak,  keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan  lain-lain.

Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas  daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung.  Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu  rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan.  Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah  dosa dan  maksiat dengan mudah.

Hati tidak dapat tidak mesti bersabar.  Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar  Allah pasti berlaku. Kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak  ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan)  gembira dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan  manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.

Hakikat ini akan menyebabkan kita akan  lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi  bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah  walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan  menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:

"...Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu  sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan  kamu tidak tahu." (Surah Al-Baqarah : 216)

Nikmat Allah

Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit  nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit,  miskin, gagal, dihina dan sebagainya?

Hendaklah kita faham bahawa  nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan  kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan  kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai  keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya,  barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada  keimanan.

Ujian juga akan menghapuskan dosa dan  kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, "belum  dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah  dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan  kesalahannya."

Bila kita benci dengan ujian, ertinya kita belum kenal Allah  dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa  kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin  bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.

Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka  berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan  sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji,  terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada  takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu  bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.

Jangan sesekali kita menjadi orang yang  rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan  hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja.  Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan  ujian-ujian-Nya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah  memilih mereka. Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara  menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis  pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya 'asbab' (sebab-sebab)  tetapi matahati mereka dapat menjangkau 'musabbabil asbab' (penyebab –  Tuhan).

Hati mereka berkata:
"Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah  untukku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah... DIA akan mengubat,  melapang dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak  tahu, kerana ilmuku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang  telah memilih ujian ini untuk diriku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas.  Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar.  Ya, Allah tingkatkanlah imanku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!"

Source: http://www.iluvislam.com/inspirasi/motivasi/1324-jangan-sombong-dengan-takdir.html

Tentang Taqwa

Allah swt. menegaskan di dalam al-Quran bahawa umat Islam adalah generasi terbaik dan menjadi contoh kepada umat lain di bumi ini. Hakikat ini dibuktikan generasi Rasulullah dan sahabat selepasnya janji Allah itu benar apabila mereka benar-benar berpegang teguh pada ajaran Islam.

Justeru, bukan perkara mustahil bagi umat Islam kini untuk kembali memahami senarai lengkap KPI para sahabat Rasulullah saw. sehingga mereka diiktiraf sebagai sebaik umat.  Kuncinya kejayaan mereka adalah dengan memiliki taqwa yang jitu dan ampuh.

Allah swt.. telah berfirman yang bermaksud:
Sesungguhnya orang yang paling mulia diantara kalian disisi Allah ialah orang yang paling bertaqwa diantara kalian. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mendengar.” (Al-Hujurat:13)

“Sesungguhnya Kami telah berwasiat (memerintahkan) kepada orang-orang yang diberi kitab sebelum kamu dan juga kepada kamu, bertaqwalah kepada Allah.” (An Nisa: 131)
Taqwa juga adalah wasiat Rasulullah SAW kepada umatnya. Baginda bersabda yang maksudnya:
“Aku berwasiat kepada kamu semua supaya bertaqwa kepada Allah, serta dengar dan patuh kepada pemimpin walaupun dia seorang hamba Habsyi. Sesungguhnya sesiapa yang hidup selepas aku kelak, dia akan melihat pelbagai perselisihan. Maka hendaklah kamu berpegang kepada sunnahku dan sunnah para khalifah yang mendapat petunjuk selepasku.”
(Riwayat Ahmad, Abu Daud, Termizi dan Majah)

Sabda Baginda lagi:
Maksudnya: “Hendaklah kamu bertaqwa di mana sahaja kamu berada. Ikutilah setiap kejahatan (yang kamu lakukan) dengan kebaikan, moga-moga kebaikan itu akan menghapuskan kejahatan. Bergaullah dengan manusia dengan akhlak yang baik.” 
(Riwayat At Termizi dan Ahmad)

Taqwa berasal dari kata Waqa, Yaqi, Wiqayatan, yang bererti perlindungan. Taqwa bererti melindungi diri dari segala kejahatan dan kemaksiatan. Pengertian taqwa diantaranya adalah “Imtitsalu awamiriLLAH wa ijtinabu nawahiHi” atau melaksanakan perintah-perintah Allah dan menjauhi segala larangan-Nya.

Dalam suatu riwayat yang sahih disebutkan bahawa Umar bin Khattab r.a. bertanya kepada sahabat Ubay bin Ka’ab r.a. tentang taqwa. Ubay bertanya kembali,
“Bukankah anda pernah melewati jalan yang penuh duri?”
“Ya”, jawab Umar
“Apa yang anda lakukan saat itu?”
“Saya bersiap-siap dan berjalan dengan hati-hati.”
“Itulah taqwa.” kata Ubay bin Ka’ab r.a.

Berdasar dari jawaban Ubay atas pertanyaan Umar, Sayyid Quthub berkata dalam tafsir Azh-Zhilal,
“Itulah taqwa, kepekaan batin, kelembutan perasaan, rasa takut terus menerus selalu waspada dan hati-hati jangan sampai sampai terkena duri jalanan… Jalan kehidupan yang selalu ditaburi duri-duri godaan dan syahwat, kerakusan dan angan-angan, kekhuatiran dan keraguan. Ketakutan palsu dari sesuatu yang tidak wajar untuk ditakuti… dan masih banyak duri-duri yang lainnya.”

Dr. Abdullah Nashih Ulwan menyatakan dalam buku Ruhaniyatud Daiyah, berkata
“Taqwa lahir dari proses dari keimanan yang kukuh, keimanan yang selalu dipupuk dengan muraqabatullah, merasa takut dengan azab Allah serta berharap atas limpahan kurnia dan maghfirahnya.”

Sayyid Quthub juga berkata
“Inilah bekal dan persiapan perjalanan…bekal ketaqwaan yang selalu menggugah hati dan membuatnya selalu terjaga, waspada, hati-hati serta selalu dalam konsentrasi penuh… Bekal cahaya yang menerangi liku-liku perjalanan sepanjang mata memandang. Orang yang bertaqwa tidak akan tertipu oleh bayangan sesuatu yang menghalangi pandangannya yang jelas dan benar… Itulah bekal penghapus segala kesalahan, bekal yang menjanjikan kedamaian dan ketenteraman, bekal yang membawa harapan atas kurnia Allah; di saat bekal-bekal lain sudah sirna dan semua amal tak lagi berguna…”

Taqwa diperoleh dari ibadah yang ikhlas dan lurus kepada Allah SWT.. Orang-orang yang bertaqwa akan mendapatkan kemuliaan dari Allah SWT..
Firman Allah swt. yang bermaksud:
“Wahai seluruh manusia, sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari seorang lelaki dan seorang perempuan, dan Kami menjadikan kamu berbangsa-bangsa dan bersuku-suku, agar kamu saling mengenal. Sesungguhnya yang paling mulia diantara kamu di sisi Allah adalah yang paling bertakwa. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui lagi Maha Mengenal” (Al-Hujurat: 13)

Kemuliaan bukan terletak samada dia lelaki atau perempuan, kehebatan suku bangsa dan warna kulit, namun kerana ketaqwaannya. Mereka yang bertaqwa adalah orang yang senantiasa beribadah dengan rasa cinta, penuh harap kepada Allah, takut kepada azabNya, ihsan dalam beribadah, khusyuk dalam pelaksanaannya, penuh dengan doa. Allah swt. juga menyebutkan bekal hidup manusia dan pakaian yang terbaik adalah taqwa.

Dr. Abdullah Nashih Ulwan menyebut ada 5 langkah yang dapat dilakukan untuk mencapai KPI taqwa, iaitu
1.Mu’ahadah
Mu’ahadah bererti selalu mengingat perjanjian kepada Allah swt., bahawa dia akan selalu beribadah kepada Allah swt. Seperti merenungkan sekurang-kurangnya 17 kali dalam sehari semalam dia membaca ayat surat Al Fatihah : 5 

“Hanya kepada Engkau kami beribadah dan hanya kepada Engkau kami mohon pertolongan”

Dalam perjanjian itu, manusia mengakui Allah pencipta sekalian manusia dan juga pentadbir mutlak alam semesta. Perjanjian itu kemudian dirakamkan Allah melalui firman-Nya yang bermaksud: Dan (ingatlah wahai Muhammad) ketika Tuhanmu mengeluarkan zuriat anak-anak Adam (turun temurun) dari (tulang) belakang manusia, dan Dia jadikan mereka saksi terhadap diri mereka sendiri (sambil Dia bertanya dengan firman-Nya): Bukankah Aku Tuhan kamu? Mereka semua menjawab: Benar, (Engkaulah Tuhan kami), kami menjadi saksi. Yang demikian itu supaya kamu tidak berkata pada hari kiamat: Sesungguhnya kami lalai (tidak diberi peringatan) tentang (hakikat tauhid) ini. (Surah al-A’raf, ayat 172)

2. Muraqabah
Muraqabah bererti merasakan kebersamaan dengan Allah swt. dengan selalu menyedari bahawa Allah swt. selalu bersama para makhluk-Nya dimana saja dan pada waktu apa sahaja. Terdapat beberapa jenis muraqabah, pertamanya muraqabah kepada Allah swt. dalam melaksanakan ketaatan dengan selalu ikhlas kepadaNya. Kedua muraqabah dalam kemaksiatan adalah dengan taubat, penyesalan dan meninggalkannya secara total. Ketiga, muraqabah dalam hal-hal yang mubah adalah dengan menjaga adab-adab kepada Allah dan bersyukur atas segala nikmatNya. Keempat muraqabah dalam mushibah adalah dengan redha. atas ketentuan Allah serta memohon pertolonganNya dengan penuh kesabaran.

3. Muhasabah
Muhasabah sebagaimana yang ditegaskan dalam Al Quran surat Al Hasyr: 18,
“Wahai orang-orang yang ber­iman! Takwalah kepada Allah dan hendaklah merenungkan se­tiap diri, apalah yang telah diper­buatnya untuk hari esok. Dan takwalah kepada Allah! Sesung­guhnya Allah itu Maha Menge­tahui apa jua pun yang kamu kerjakan”
Ini bermakna hendaklah seorang mukmin menghisab dirinya tatkala selesai melakukan amal perbuatan, apakah tujuan amalnya untuk mendapatkan redha. Allah? Atau apakah amalnya dicampuri sifat riya? Apakah ia sudah memenuhi hak-hak Allah dan hak-hak manusia?
Umar bin Khattab r.a. berkata,”Hisablah diri kalian sebelum kalian dihisab, timbanglah diri kalian sebelum kalian ditimbang, dan bersiap-siaplah untuk pertunjukan yang agung (hari kiamat). Di hari itu kamu dihadapkan pada pemeriksaan, tiada yang tersembunyi dari amal kalian barang sedikitpun.”

4. Mu’aqabah
Mu’aqabah ialah memberikan hukuman atau denda terhadap diri apabila melakukan kesilapan ataupun kekurangan dalam amalan. Mu’aqabah ini lahir selepas Muslim melakukan ciri ketiga iaitu muhasabah. Hukuman ini bukan bermaksud deraan atau pukulan memudaratkan, sebaliknya bermaksud Muslim yang insaf dan bertaubat berusaha menghapuskan kesilapan lalu dengan melakukan amalan lebih utama meskipun dia berasa berat.dalam Islam, orang yang paling bijaksana ialah orang yang sentiasa bermuhasabah diri dan melaksanakan amalan soleh. Disebutkan, Umar bin Khattab pergi ke kebunnya. Ketika pulang didapatinya orang-orang sudah selesai melaksanakan solat Asar berjamaah. Maka beliau berkata,”Aku pergi hanya untuk sebuah kebun, aku pulang orang-orang sudah solat Asar. Kini kebunku aku kujadikan sedekah untuk orang-orang miskin.”

Suatu ketika Abu Thalhah sedang solat, di depannya lewat seekor burung lalu ia melihatnya dan lalai dari solatnya sehingga lupa sudah berapa rakaat beliau solat. Kerana kejadian tersebut beliau mensedekahkan kebunnya untuk kepentingan orang miskin sebagai denda terhadap dirinya atas kelalaian dan ketidakkhusyukannya.

5. Mujahadah
Makna mujahadah sebagaimana disebutkan dalam surat Al Ankabut ayat 69 adalah apabila seorang mukmin terseret dalam kemalasan, santai, cinta dunia dan tidak lagi melaksanakan amal-amal sunnah serta ketaatan yang lainnya tepat pada waktunya, maka ia harus memaksa dirinya melakukan amal-amal sunnah lebih banyak dari sebelumnya. Dalam hal ini ia harus tegas, serius dan penuh semangat sehingga pada akhirnya ketaatan merupakan kebiasaan yang mulia baginya dan menjadi sikap yang melekat dalam dirinya.

Sebagai penutup, Allah swt. telah berfirman dalam Al-Quran yang bermaksud:
“Wahai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dan janganlah kamu mati melainkan di dalam keadaan Islam”. (‘Ali Imran: 102)

source: http://halaqahmuntijah.wordpress.com/2010/10/08/kpi-muslim-taqwa-di-sisi-allah-swt/

Monday, December 27, 2010

Amalan kebaikan walaupun remeh tetap dinilai


Oleh Wan Aminurrashid Wan Abd Hamid

HIDUP ini harus dipenuhi dengan amal salih dan meninggalkan semua amal jahat kerana itulah sifat sebenar mukmin. Islam mengajarkan segala perbuatan baik dilakukan dengan ikhlas sama ada besar atau kecil, sedikit atau banyak tetap dinilai oleh Allah SWT dan tersedia baginya ganjaran pahala.
Allah SWT menggalakkan kita berlumba mengerjakan kebaikan dengan tidak menetapkan nilai atau ukurannya seperti firman-Nya bermaksud:
“Maka berlumbalah kamu (dalam membuat) kebaikan.” – (Surah al-Baqarah, ayat 148)
Adakalanya kebaikan itu mungkin kecil pada pandangan manusia, tetapi nilainya besar pada pandangan Allah. Memberi senyuman tidak kira kepada siapa pun ketika bertemu mungkin dianggap perkara kecil atau remeh tetapi senyuman ikhlas yang diberikan itu mempunyai nilai sedekah kerana menimbulkan kegembiraan orang lain, mengeratkan ukhuwah sesama Muslim.
Sabda Nabi SAW yang bermaksud:
“Janganlah kamu meremehkan kebaikan apapun, walaupun sekadar bertemu saudaramu dengan wajah yang manis (wajah gembira dan senyuman).” – Hadis riwayat Muslim)
Mengukir senyuman adalah kebaikan yang tidak memerlukan modal, namun ganjarannya besar dan begitu memberi kesan positifnya dalam kehidupan bermasyarakat.
Lihatlah, berapa banyak restoran yang laris jualannya dan memikat ramai pengunjung kerana keramahan dan senyuman pemilik serta pelayannya berbanding restoran yang memberi layanan tidak mesra.
Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Sesungguhnya aku telah melihat seorang lelaki berguling-guling (bergembira) dalam syurga hanya kerana dia memotong dahan pokok di bahu jalan yang mengganggu manusia.” – (Hadis riwayat Muslim)
Hadis ini mengisahkan seorang lelaki melalui sebatang jalan yang biasa dilalui kaum Muslimin dan terlihat sebatang dahan berduri seakan-akan mahu jatuh. Bimbang dahan itu jatuh dan menimpa orang ramai, lelaki berkenaan memotong dahan itu.
Disebabkan kebaikannya, Allah mengampuninya dan memasukkan dia ke syurga. Lelaki tadi kelihatannya membuat sedikit saja kebaikan, tetapi Allah merahmati dan membalas perbuatannya dengan nilai sangat besar iaitu syurga penuh kenikmatan.
Kita tidak tahu sebenarnya apakah amalan kita selama ini yang mendatangkan rahmat dan keredaan Allah. Mungkin rahmat dan reda Allah datang sewaktu kita mengukir senyuman kepada rakan, sewaktu memberi salam atau memimpin orang yang buta melintas jalan.
Jadi, meremehkan kebaikan kecil itu sebenarnya salah besar kerana siapa tahu, dengan kebaikan kecil itulah yang akan memberikan pahala besar, meraih rahmat dan reda Allah SWT.
- Penulis adalah Pegawai Hal Ehwal Islam di Pusat Islam Universiti, UPM Serdang

Friday, December 17, 2010

Solat adalah mikraj seorang mukmin

Hikmah utama daripada peristiwa Israk dan Mikraj Nabi Muhammad saw. Dan yang   mana  ianya menjadi titah perintah Allah swt. Aaalah fardu solat lima waktu. 

Solat dan tafakur,  yakni berhenti sejenak ditengah-tengah  pelbagai kesibukan  duniawi  seharian dengan melakukan doa dan zikir, ianya adalah saat-saat  dimana kita meneropong hati kita sendiri, saat-saat dimana kita menilai ( bermuhasabah ) diri kita sendiri dan amal perbuatan kita .

Adalah kita sebagai muslim diperintahkan oleh Allah swt. untuk melaksanakan solat lima waktu setiap hari dan malamnya. Solat yang berfungsi  sebagai tanda-tanda  bukti  pengabdian seorang insan  kepada Khalik-nya  yang telah menciptakan-nya , juga ianya sebagai persembahan  kesyukuran di atas segala  nikmat yang telah dikaruniakan-Nya  dalam mengharungi kehidupan di alam maya ini.

Disamping itu pula, solat adalah sebagai usaha kita untuk mengadakan penilaian  ke atas segala amal perbuatan yang kita lakukan pada hari tersebut, di mana kita langsung bermunajat  serta bertawajuh (  menghadapkan muka )  kepada Allah swt. Dan mengadakan dialog sambil menyampaikn segala macam bentuk harapan serta keluh kesah kita di atas kelemahan dan kekurangan kita dengan memohon  petunjuk bimbingan-Nya  serta dorongan  semangat-Nya  ke arah menjalankan tugas-tugas kewajipan kita seharian dengan sebaik-baiknya.

Pada  tiap kali kita melaksanakan solat, kita ulangi serta perbaharui tekad serta janji kita kepada Allah swt. Dengan ucapan yang mafhumnya : “ Hanya kepada-Mu lah ya Allah kami mengabdikan diri kami dan hanya kepada-Mu lah kami memohon pertolongan . Tunjukkan kami ke jalan yang lurus, ialah  jalan mereka yang mendapatkan karunia kenikmatan dari-Mu ya Allah, bukannya jalan orang-orang yang Engkau murkai “. ( QS al-Fatihah ayat 5-7 ).
Nabi S.A.W Bersabda bahawa solat itu adalah  mi’rajnya orang mukmin, naik tangga dan berhubungan secara vertikal dengan Tuhan Yang Maha Esa ( Allah S.W.T).   
Wallahu A’lam.

http://www.hikmah.org.my/index.php?option=com_content&view=article&id=72:solat-adalah-mikraj-seorang-mukmin&catid=42:tafsir&Itemid=70
Manusia Bangkit Dari Kubur Dalam 12 Barisan. Suatu ketika, Muaz bin Jabal r. a menghadap Rasullullah s. a. w dan bertanya: “Wahai Rasullullah, tolong huraikan kepadaku mengenai firman Allah s. a. w: “Pada sangkakala ditiup, maka kamu sekalian datamg berbaris-baris” -(Surah an-Naba’:18) Mendengar pertanyaan itu, baginda menangis hingga basah pakaiannya. Lalu Baginda menjawab: “Wahai Muaz, engkau telah bertanyakan kepada aku, perkara yang amat besar, bahawa umatku akan digiring, dikumpulkan berbaris-baris menjadi 12 barisan, masing-masing dengan pembawaan mereka sendiri….

Maka dinyatakan apakah 12 barisan berkenanaan iaitu:
BARISAN PERTAMA Diiringi dari kubur dengan tidak bertangan dan berkaki. Keadaan mereka ini dijelaskan melalui satu seruan dari sisi Allah Yang Maha Pengasih: ” Mereka itu adalah orang-orang yang ketika hidupnya menyakiti hati jirannya, maka in balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”

BARISAN KEDUA Diiringi dari kubur berbentuk babi hutan. Datanglah suara dari sisi Allah yang maha pengasih: “Mereka itu adalah orang yang ketika hidupnya meringankan solat, maka inilah balasannya dan tempat kembalinya adalah neraka…”

BARISAN KETIGA Mereka berbentuk keldai, sedangkan perut mereka penuh dengan ular dan kala jengking. “Meraka ini adalah orang yang enggan membayar zakat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..”
BARISAN KEEMPAT Diiringi dari kubur dengan keadaan darah seperti air pancutan keluar dari mulut mereka. “Mereka ini adalah orang yang berdusta didalam jual beli, maka inilah balasannya dan tempat mereka adalah neraka..”

BARISAN KELIMA Diiringi dari kubur dengan bau busuk daripada bangkai. Ketika itu Allah s. a. w menurunkan angin sehingga bau busuk itu mengganggu ketenteraman di Padang Masyar. “Mereka ini adalah orang yang menyembunyikan perlakuan derhaka takut diketahui manusia tetapi tidak pula rasa takut kepada Allah s. a. w, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”

BARISAN KEENAM Diiringi dari kubur dengan keadaan kepala mereka terputus dari badan. “Mereka adalah orang yang menjadi saksi palsu, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

BARISAN KETUJUH Diiringi dari kubur tanpa mempunyai lidah dari mulut mereka mengalir keluar nanah dan darah. “Meraka itu adalah orang yang enggan memberi kesaksian di atas kebenaran, maka inilah balasannya dan tempat kembalu mereka adalah neraka…”
BARISAN KELAPAN Diiringi dari kubur dalam keadaan terbalik degan kepala kebawah dan kaki keatas. ” Meraka adalah orang yang berbuat zina, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

BARISAN KESEMBILAN Diiringi dari kubur dengan berwajah hitam gelap dan bermata biru sementara dalam diri mereka penuh dengan api gemuruh. ” Mereka itu adalah orang yang makan harta anak yatim dengan cara haram, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”

BARISAN KESEPULUH Diiringi dari kubur mereka dalam keadaan tubuh mereka penuh dengan sopak dan kusta. “Mereka adalah orang yang derhaka kepada orang tuanya, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka..”

BARISAN KESEBELAS Diiringi dari kubur mereka dengan berkeadaan buta, gigi mereka memanjang seperti tanduk lembu jantan, bibir mereka melebar sampai kedada dan lidah mereka terjulur memanjang sampai keperut dan keluar beraneka kotoran. “Mereka adalah orang yang minum arak, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah neraka…”

BARISAN KEDUA BELAS Mereka diiringi dari kubur dengan wajah yang bersinar-sinar laksana bulan purnama. Mereka melalui titian sirat seperti kilat. Maka, datanglah suara dari sisi Allah Yang Maha Pengasih memaklumkan: “Mereka adalah orang yang beramal soleh dan banyak berbuat baik. Meraka menjauhi perbuatan derhaka, mereka memelihara solat lima waktu, ketika meninggal dunia keadaan mereka bertaubat, maka inilah balasannya dan tempat kembali mereka adalah syurga, mendapat keampunan, kasih sayang dan keredhaan Allah yang maha pengasih…”

source: http://www.islamictazkirah.com/kisah-teladan/manusia-bangkit-dari-kubur-dalam-12-barisan?utm_source=feedburner&utm_medium=email&utm_campaign=Feed%3A+islamictazkirah+%28TAZKIRAH%29

"Ya Allah, jadikanlah para pembaca blog yang Engkau rahmati dan tuan punya blog ini sebagai ahli syurga-Mu yang wajah mereka bercahaya di alam akhirat kelak.. Amin."


Wednesday, December 15, 2010

Buat Hati Yang Ketandusan Cinta


Sabarlah duhai hati.
Tak perlu kau tagih cinta manusiawi yang bersifat sementara.
Ada cinta yang lebih kekal abadi buat dirimu.
Ada cinta yang bisa membuatkan kau mengalirkan airmata ketika hati merindui.
Ada cinta yang mampu memberikan ketenangan pada jiwamu ketika kamu dilanda keresahan.
Ada cinta yang boleh kau jadikan tempat merintih bila kesedihan datang menjenguk.
Ada cinta yang mampu memberikan apa sahaja yang kamu inginkan.
Namun, kadang-kadang cintamu itu pasti diuji.
Sekuat manakah cintamu pada-Nya, sehebat manakah kasih kamu pada-Nya.
Ujian datang dalam pelbagai cara.
Hatta sekecil-kecil perkara untuk menilai kesetiaanmu pada-Nya.
Andai kata kuat dan tetap hatimu pada-Nya, maka bergembiralah.
Jika hatimu goyah dan meragui kasih sayang-Nya selepas didatangkan ujian pada dirimu, maka sedarlah bahawa nilai cintamu disisi-Nya masih lemah.
Kembalilah pada cinta-Nya yang lebih agung dari kecintaanmu buat dunia dan isinya.
Sudah menjadi sunnah-Nya, setiap yang bergelar mukmin pasti akan diuji.
Dari ujian  itulah, Dia mencari hamba-hamba-Nya yang benar-benar mendambakan keredhaan dari-Nya.
Apakah kau sanggup menghadapi segalaan ujian itu?
Namun, tidak ramai yang mahu mencari cinta yang kekal abadi ini kerana tidak mahu dilanda ujian-ujian ini.
Tidak ramai yang mahu mengeluarkan keringat hatta darah sekalipun untuk merasai manisnya cinta yang bertunjangkan kekuatan aqidah terhadap yang Khalid ini.
Maka sabarlah duhai hati.
Apabila telah kau rasakan manisnya cinta dari sang Pencipta,
maka tak perlu lagi kau kejar cinta manusiawi yang rata-ratanya berlandaskan nafsu semata.
Bila telah kau tetapkan hati untuk mencintai Tuhan sekalian alam, maka itulah sebenar-benarnya kecintaan yang sejati.
Dan dalam perjalanan menelusuri denai cintai terhadap-Nya yang sudah pasti disaluti onak dan duri,
akan didatangkan seorang yang turut sama mencintai-Nya sebagaimana dirimu juga.
Sebagai peneman dan yang akan menyempurnakan sebahagian daripada imanmu.
Yang padanya ada ketenangan dan kebahagiaan berpaksikan Tuhan yang Maha Satu.
Maka sabarlah duhai hati.
Tidak perlu kau gundah gulana andainya kau masih tidak berkasih dengan manusia.
Dia akan datang. Itu sudah pasti.
Namun datangnya tiada siapa yang tahu kecuali Dia sang Pencipta cinta itu.
Moga datangnya cinta insani itu, akan menguatkan lagi kecintaanmu buat sang Pencipta cinta itu sendiri.
Kerana jiwa yang sepi tanpa cinta dan kasih dari-Nya, adalah umpama padang pasir yang kegersangan.

source: http://www.iluvislam.com/karya/puisi-kreatif/1308-buat-hati-yang-ketandusan-cinta.html 

Wednesday, December 8, 2010

(La Tahzan..Yakinlah) Allah sentiasa DEKAT

وَإِذَا سَأَلَكَ عِبَادِي عَنِّي فَإِنِّي قَرِيبٌ أُجِيبُ دَعْوَةَ الدَّاعِ إِذَا دَعَانِ فَلْيَسْتَجِيبُواْ لِي وَلْيُؤْمِنُواْ بِي لَعَلَّهُمْ يَرْشُدُونَ

Maksudnya: "Dan apabila hamba-Ku bertanya mengenai Aku, maka (beritahu kepada mereka): 'Sesungguhnya Aku (Allah) sentiasa dekat (kepada mereka). Aku memperkenankan permohonan orang yang berdoa kepada-Ku. Maka hendaklah mereka menyahut seruan-Ku (iaitu dengan mematuhi perintah-Ku) dan hendaklah mereka beriman kepada-Ku supaya mereka mendapat petunjuk." (Surah al-Baqarah 2:186)

Allah, Tuhan yang Maha Kuasa, yang mencipta dan memiliki seluruh alam. Allahuakhbar, Dialah jua Allah yang Maha Besar, bebas dari segala kelemahan dan cacat cela, lagi tidak memerlukan sebarang pertolongan. Tetapi, Dialah juga Allah, yang Maha Pengasih lagi Maha Penyayang buat hamba-hambaNya yang beriman.
Allah tidak menjauh dari hamba-hamba-Nya bahkan Dia dekat, melainkan kitalah yang acapkali alpa, lalai sehinggakan hati kita jauh dari petunjuk-Nya. Namun, yang namanya manusia itu fitrahnya lemah, mudah terpedaya dan diperdayakan. Dan kerana kita lemah, kita mudah takut pabila digertak, dan langkah kita mudah tersadung, kemudian kita tersungkur bila mana ada halangan di pertengahan jalan. Tetapi, itulah fitrah kita, diciptakan lemah.

Maha suci Allah yang Maha Bijaksana, menciptakan hamba-hamba-Nya dengan fitrah yang lemah, supaya kita berdoa mencari pergantungan dengan-Nya, supaya kita berdoa sebagai usaha untuk dekat dan hampir dengan-Nya. Bukankah itu bukti Penyayangnya Dia.. Doa adalah kunci kekuatan kita, bahkan disebut juga sebagai senjata utama bagi orang-orang mukmin. Dengan doa yang diungkap dengan penuh keikhlasan , hati diberi peluang untuk merasai keasyikan dan kelazatan dapat 'hampir' kepada Allah. Yang lebih utama, adalah kehampiran Allah kepada kita,!

Justeru, tidak mengapalah jika doa kita dimakbulkan segera atau dijadikan khazanah untuk akhirat nanti atau ditukar menjadi sebab musibah dijauhkan.Semuanya itu untuk kebaikan kita, Dialah juga yang mengetahui apa yang terbaik buat hamba-hamba-Nya. Maka, ayuhlah rijal-rijal sekalian kita memperbanyakkan doa disamping memperbaiki amalan supaya doa kita diterima. Semoga kita hampir kepada-Nya.

Sumber rujukan : Majalah Solusi, Isu : 18,m/s:65



Thursday, November 25, 2010

Zikir terapi ajaib ubat kegersangan hati, roh insan


ZIKIR mempunyai kedudukan sangat istimewa kerana ibadah ini digalakkan Islam sebagai satu bentuk amal ibadah yang menunjukkan sifat tunduk serta patuh sepenuhnya kepada Allah, disertai pula rasa kasih, reda dan yakin kepada-Nya.

Mukmin yang sentiasa mengamalkan zikir akan dapat merasai kesannya seperti ketenangan jiwa. Firman Allah yang bermaksud:

(Iaitu) orang yang beriman dan tenang tenteram hati mereka dengan zikrullah. Ketahuilah dengan zikrullah itu tenang dan tenteramlah hati manusia. (Surah Ar-Rad, ayat 28)

Dalam kehidupan, kita sering berdepan pelbagai cabaran dan dugaan sehingga ada ketikanya membawa kepada keresahan jiwa. Justeru, dengan sentiasa mengamalkan ibadah zikir, ia ibarat terapi ajaib yang menyembuhkan keresahan jiwa manusia. Namun, penyerapan roh zikrullah tidak datang kepada pengamalnya jika hati tidak bersama tatkala berzikir. Ketenangan hati orang mukmin terhasil daripada zikrullah adalah hakikat dalaman yang hanya boleh dirasakan oleh hati yang diselaputi kemanisan iman.

Selain itu, mukmin yang sentiasa berzikir akan diberikan ganjaran pahala yang besar. Ini janji Allah dalam firman-Nya yang bermaksud:

“Dan orang lelaki yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya serta orang perempuan yang menyebut nama Allah sebanyak-banyaknya, Allah menyediakan bagi mereka keampunan dan pahala yang besar.” (Surah al-Ahzaab, ayat 35)

Walaupun zikir amalan yang mudah dilakukan, tetapi menjadi berat untuk dibiasakan. Antara penghalang kepada seseorang untuk membiasakan lidah berzikir ialah disebabkan dosa yang dilakukan.

Apabila daki dosa tertampal pada hati, ia terhijab untuk menggerakkan seseorang berzikir. Faktor lain, seseorang itu dibelenggu sifat mazmumah seperti hasad dengki, suka mengumpat dan sebagainya. Sifat keji seperti ini juga akan menghijab hati untuk berzikir.

Ibnu Taimiyah berkata, keperluan hati terhadap zikir umpama keperluan ikan terhadap air. Cuba bayangkan, bagaimana keadaan ikan jika kita keluarkan dari air.

Al-Imam Syamsuddin Ibnu Qayyim mengatakan: “Sesungguhnya zikir adalah makanan asas bagi hati dan roh, apabila hamba Allah gersang daripada siraman zikir, maka jadilah ia bagaikan tubuh yang terhalang untuk memperoleh makanan asasnya.”

Demikian penting dan tingginya kedudukan zikir kepada seseorang mukmin. Kita seharusnya berpegang kepada prinsip hidup, tidak sempurna hari tanpa zikir. Inilah yang seharusnya kita didik supaya lidah dan hati sentiasa berzikir kepada Allah.

Ibnu Masud ada mengatakan: “Sesungguhnya aku bertasbih beberapa kali itu lebih aku sukai daripada aku menderma beberapa dinar dalam jumlah yang sama di jalan Allah.”

Zikir berkhasiat pula sebagai ubat bagi kekerasan hati.

Dikisahkan bahawa ada seseorang bertanya kepada Hasan al-Basri: “Ya Abu Said, aku ingin mengadu kepada tuan, mengapa hati aku ini menjadi keras begini?” Lantas kata Hasan: “Lunakkanlah hatimu itu dengan zikir.”

Kedudukan tinggi amalan berzikir turut digambarkan dalam kisah seorang bertanya kepada Salman al-Farisi: Amal apakah yang paling utama? Kemudian dijawab Salman: “Tidakkah engkau pernah membaca ayat, Sesungguhnya mengingati Allah adalah lebih besar (keutamaannya) daripada ibadah yang lain.” (Surah Al-Ankabut ayat 45)

Abdullah bin Masud pernah berkata: “Sesungguhnya sebuah gunung menyeru gunung yang lainnya dengan namanya dan bertanya, apakah hari ini ada orang yang lalui di atasmu dan menyebut Allah (berzikir)? Maka apabila gunung itu menjawab, ya, maka ia akan gembira.”

Demikian juga riwayat yang mengatakan Abdullah bin Abbas pernah berkata: “Tidak ada sebuah lembah yang di atasnya disebut nama Allah kecuali ia akan merasa bangga atas lembah yang berada di sekelilingnya, ia merasa gembira dengan zikir yang diucapkan itu. Kegembiraan itu juga turut dirasai oleh tujuh lapis di bawah lembah itu.”

Begitulah gambaran jelas menunjukkan betapa amalan zikir mempunyai keistimewaan besar yang seharusnya menjadi amalan rebutan setiap mukmin untuk mencapai keredaan Allah dan menikmati ketenangan hidup.
 
"Subhanallah. Alhamdulillah. Laillahaillallah. Allahuakbar."
 

Ikhlas mesti dijadikan cara hidup capai kesempurnaan iman


SIFAT ikhlas sangat penting untuk dipraktikkan dalam kehidupan seharian kerana orang yang ikhlas dianggap sempurna imannya. Ikhlas adalah sifat jujur yang dipraktikkan melalui perbuatan, percakapan dan amalan seharian.

Ikhlas datang daripada hati akan menjadikan sesuatu perbuatan dan amal itu diterima Allah.

Nabi SAW bersabda;

Siapa memberi kerana Allah, menolak kerana Allah, mencintai kerana Allah, membenci kerana Allah dan menikah kerana Allah, maka sempurnalah imannya. (Riwayat Abu Daud)

Berdasarkan hadis ini, sifat ikhlas penting dalam memberi dan menolak sesuatu yang haram serta membenci perbuatan tidak baik. Malah, tujuan berkahwin yang ikhlas kerana Allah sangat dituntut Islam kerana ia adalah cara menuju kesempurnaan iman. Begitulah tingginya kedudukan sifat ikhlas dalam hati Muslim. Sifat ikhlas dapat dididik kepada anak melalui pemberian, percakapan dan membenci sesuatu perkara yang dilarang Allah. Pendidikan ini mesti dilakukan secara berterusan.

Ikhlas sebenarnya wujud dari hati, bukan melalui percakapan. Ada sesetengah orang mengatakan, pemberian saya ini ikhlas. Belum tentu sifat ikhlas itu wujud seratus peratus kerana pemberian yang ikhlas adalah lebih baik dilakukan secara diam-diam dan tidak perlu ia dihebahkan kepada orang ramai.

Sukar untuk menentukan keikhlasan yang datang dari hati. Hanya seseorang yang beriman dan betul-betul ikhlas yang dapat mentafsirkan pemberiannya ikhlas atau ada maksud di sebaliknya.

Nabi SAW bersabda yang bermaksud:

Sesungguhnya Allah SWT tidak memandang segak tubuhmu dan tidak pula pada kedudukan mahupun harta kekayaanmu, tetapi Allah memandang pada hatimu. Barang siapa memiliki hati yang salih, maka Allah menyukainya. Bani Adam yang paling dicintai Allah ialah yang paling bertakwa. (Riwayat Ath-Thabrani dan Muslim)

Seseorang yang sentiasa mendidik hatinya untuk ikhlas melalui perbuatan, percakapan dan pemberian akan dapat menuju ke arah ketakwaan kepada Allah.

Sabda Nabi SAW yang bermaksud:

Siapa memurkakan Allah untuk meraih keredaan manusia, maka Allah murka kepadanya dan menjadikan orang yang meredainya menjadi murka kepadanya. Namun, siapa yang meredakan Allah (meskipun) dalam kemurkaan manusia maka Allah akan meredainya dan meredakan kepadanya, orang yang pernah memurkai-nya, sehingga Allah memperindah dirinya, memperindah ucapannya dan perbuatan dalam pandangan-Nya. (Riwayat Ath-Thabrani)

Sifat ikhlas wajar dididik dan dilatih sejak kecil lagi. Bimbingan pendidikan ini mesti dilakukan secara berterusan dalam pemberian, perlakuan dan perbuatan. Oleh itu, sifat ikhlas ini tidak perlu dipamerkan tetapi dipraktikkan.
 

Thursday, November 18, 2010

Ibadah Qurban Lambang Ketaatan Kepada Allah

..Salam Aidiladha..

Dikirim oleh epondok di November 10, 2010

Oleh MOHD. NORZI NASIR
SEBAHAGIAN daripada keutamaan dan kurniaan yang Allah SWT berikan kepada sekelian hamba-Nya adalah dijadikan musim atau masa-masa tertentu bagi hamba-hamba-Nya yang soleh untuk meningkatkan kualiti amalan dan integritinya.
Bulan Zulhijjah merupakan bulan ibadah yang penuh dengan pengertiannya yang tersendiri. Di dalamnya terkandung perkara kelima dalam rukun Islam iaitu ibadah haji.

Jika setiap jemaah haji atau tetamu Allah menyempurnakan ibadah haji atau manasik mereka di padang Arafah pada 9 Zulhijjah berlandaskan sabda Rasulullah yang bermaksud, “Haji itu Arafah”, maka umat Islam lainnya di luar Tanah Suci melengkapi ibadah mereka dengan melakukan ibadah korban atau udhiyyah bermula 10 Zulhijjah.

Udhiyyah bermaksud menyembelih haiwan daripada ternakan yang dikategorikan sebagai al-an’am iaitu unta, lembu, biri-biri dan kambing pada Hari Raya Haji atau yaum al-Nahr pada 10 Zulhijjah dan pada hari-hari tasyriq iaitu 11,12 dan 13 Zulhijjah bertujuan mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Korban lambang ketaatan hamba
Ibadah korban merupakan gambaran praktikal dari keikhlasan, ketaatan dan ketulusan hati yang tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail kepada Allah Yang Maha Kuasa.

Firman Allah SWT yang bermaksud: Maka ketika anaknya itu sampai (ke peringkat umur yang membolehkan dia) berusaha bersama-sama dengannya, Nabi Ibrahim berkata: Wahai anak kesayanganku! Sesungguhnya aku melihat dalam mimpiku bahawa aku akan menyembelihmu. Apakah pendapatmu? Anaknya menjawab: Wahai ayah, lakukanlah apa yang diperintahkan kepadamu. In sya Allah, ayah akan mendapati aku termasuk orang-orang yang sabar. Lantas Kami menyerunya: Wahai Ibrahim! Engkau telah menyempurnakan maksud mimpi yang engkau lihat itu. Demikianlah sebenarnya Kami membalas orang-orang yang berusaha mengerjakan kebaikan. Sesungguhnya perintah ini adalah satu ujian yang nyata dan Kami tebus anaknya itu dengan seekor binatang sembelihan yang besar serta Kami kekalkan baginya (nama yang harum) di kalangan orang-orang yang datang terkemudian. (al-Soffaat: 101-108)

Ikhlas kerana Allah
Daripada Aisyah r.a., Nabi bersabda: “Berkorbanlah kamu dengan hati yang reda, sesungguhnya tiap-tiap muslim yang menghadapkan sembelihannya ke arah kiblat, maka darahnya, kotorannya dan bulunya itu adalah kebajikan dan bakti kepada timbangannya pada hari kiamat”. (riwayat al-Baihaqi)

Dengan menyembelih binatang ternakan sebagai korban, seorang muslim telah merelakan sebahagian harta yang dimilikinya sebagai merealisasikan keikhlasan, ketaatan dan rasa kesyukuran melalui nikmat yang telah diberikan oleh Allah.

Firman Allah yang bermaksud: Sesungguhnya Kami telah mengurniakan kepadamu (Wahai Muhammad) kebaikan Yang banyak (di dunia dan di Akhirat). Oleh itu, kerjakanlah solat kerana Tuhanmu semata-mata, dan sembelihlah korban (sebagai tanda bersyukur). (al- Kauthar: 1-2)

Misi sosial sesama hamba
Ibadah korban tidak hanya mengandungi dimensi ketaatan dan taqarrub seorang hamba kepada Khaliqnya (Allah) malah terkandung di dalamnya misi sosial sesama hamba.

Kesediaan seseorang hamba untuk melakukan korban mencerminkan wujudnya pengakuan dalam dirinya akan hak-hak saudara muslimnya yang lain seterusnya dapat membugar tingkat sosial yang tinggi dalam masyarakat.

Rasulullah SAW melarang keras golongan berharta (golongan kaya) yang memiliki kemampuan melakukan ibadah korban tetapi enggan menunaikannya untuk bersama-sama menunaikan solat Aidiladha bersama jemaah di masjid.

Abu Hurairah r.a berkata, Rasulullah bersabda yang bermaksud: “Sesiapa yang memiliki kemampuan (dikurniakan rezeki yang melimpah-ruah ) dan tidak menyembelih, maka janganlah dia mendekati tempat solat kami”. (Riwayat Ibn Majah dalam Sunannya)

Ukuran kemampuan tidak berdasarkan kekayaan yang dimiliki. Namun ia merujuk kepada kemampuan setiap individu iaitu setelah memenuhi keperluan rutin hariannya dia masih mempunyai lebihan wang untuk melakukan korban.

Golongan berkemampuan sebaliknya dianjurkan supaya mengagihkan dan memberi daging-daging sembelihan kepada golongan yang kurang bernasib-baik seperti golongan fakir-miskin, saudara Islam yang sedang ditimpa musibah dan anak yatim dan selain mereka.

Firman Allah yang bermaksud: Dan Kami jadikan unta (yang dihadiahkan kepada fakir miskin Mekah itu) sebahagian dari syiar agama Allah untuk kamu; pada menyembelih unta itu ada kebaikan bagi kamu. Oleh itu, sebutlah nama Allah (semasa menyembelihnya) ketika ia berdiri di atas tiga kakinya. Setelah ia tumbang (serta putus nyawanya), makanlah sebahagian daripadanya dan berilah (bahagian yang lain) kepada orang-orang yang tidak meminta dan yang meminta. Demikianlah Kami memudahkannya untuk kamu (menguasai dan menyembelihnya) supaya kamu bersyukur. Daging dan darah binatang qurban atau hadiah itu tidak sekali-kali akan sampai kepada Allah. Tetapi, yang sampai kepadaNya ialah amal yang ikhlas berdasarkan takwa daripada kamu. Demikianlah Dia memudahkan binatang-binatang itu bagi kamu supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat nikmat petunjuk-Nya. Dan sampaikanlah berita gembira (dengan balasan yang sebaik-baiknya) kepada orang-orang yang berusaha supaya baik amalnya. (al-Haj: 36-37)

Melalui penerimaan daging-daging korban sudah pasti akan terpancar rasa kasih sayang sesama insani. Golongan fakir yang dahulunya tidak pernah berkemampuan untuk mendapatkannya dek harganya yang mahal akhirnya mengecapi nikmat tersebut.

Golongan yang berkemampuan pula akan bertambah tingkat kesyukuran mereka kepada Allah. Justeru ikatan yang terjalin sesama manusia hablum minan nas akan melahirkan satu struktur masyarakat yang kuat, berperibadi luhur, adil, sejahtera.

Sebagaimana sedekah, zakat dan ibadah sosial yang lain, ibadah korban mampu membersihkan sifat mazmumah seperti bakhil, ‘ujub, dan takbur bagi golongan berkemampuan, dan perasaan cemburu dan hasad dengki bagi golongan fakir dan yang tidak berkemampuan.

Korban dari lisan Nabi SAW

Dari Al-Barra’ ibn ‘Azib r.a, Rasulullah SAW bersabda: “Empat jenis binatang yang tidak dianjurkan dalam ibadah korban iaitu buta sebelah matanya yang jelas butanya, sakit yang jelas sakitnya, tempang yang jelas bengkoknya, tidak mampu berjalan dan tidak mempunyai lemak (kurus)”. (riwayat Abu Dawud di dalam Sunannya)

Jundub ibn Abdullah ibn Sufyan al-Bajali r.a berkata: Nabi SAW menunaikan solat pada hari al-Nahr (Aidiladha) kemudian berkhutbah lalu menyembelih (bintang) korbannya lantas bersabda: “Sesiapa yang menyembelih sebelum solat Aidiladha, sembelihlah yang lain sebagai penggantinya dan sesiapa yang belum menyembelih maka sembelihlah dengan nama Allah”. (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya)

Jabir r.a berkata: “Aku bersama Nabi SAW solat Aidiladha di musolla. Ketika selesai berkhutbah, baginda turun dari mimbar lalu dibawakan seekor kambing lantas baginda SAW menyembelihnya dengan tangannya sendiri sambil berkata: “Bismillah wallahu Akbar”. Ini daripadaku dan daripada umatku yang belum menyembelih”. (riwayat Abu Dawud di dalam Sunannya)

Anas r.a berkata: Rasulullah pernah melakukan korban dengan dua ekor kambing biri-biri yang bagus lagi bertanduk. Baginda menyembelih kedua-duanya dengan tangan baginda sendiri dengan menyebut nama Allah dan bertakbir sambil meletakkan kaki baginda pada lambung kedua-duanya. (riwayat al-Bukhari di dalam Sahihnya)

Daripada Jabir bin Abdullah r.a, katanya: Kami pernah menyembelih korban bersama-sama Rasulullah pada tahun perjanjian Hudaibiah untuk korban seekor unta atau korban seekor lembu, kami bersekutu tujuh orang. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya)

Sabda Rasulullah SAW: Makan dan simpanlah serta sedekahkan daging korban itu. (riwayat Muslim di dalam Sahihnya)

Atha’ ibn Yasar pernah bertanya kepada Abu Ayyub al-Ansari perihal cara melakukan ibadah korban pada zaman Rasulullah. Lantas Abu Ayyub menjawab: “Dahulu seseorang melakukan korban seekor kambing untuk dirinya dan keluarganya lalu mereka memakannya dan membahagikannya kepada orang lain”. (riwayat al-Tirmizi di dalam Jami’nya)

Pendek kata, ibadah korban merupakan gambaran praktikal dari keikhlasan, ketaatan dan ketulusan hati yang tidak berbelah-bagi Nabi Ibrahim a.s dan anaknya Nabi Ismail kepada Allah Yang Maha Kuasa.

 


Design by: Blogger XML Skins | Distributed by: Blogger Templates | Sponsored by Application Monitoring