WAHAI muslimin dan muslimah! Sebahagian dari akhlak seorang islam yang sejati itu ialah pemalu dan menyimpankan segala rahsia dan cacat cela saudaranya. tidak suka menyebarkan berita-berita buruk, fitnah atau tuduhan palsu yang bukan-bukan di dalam kehidupan bermasyarakat. Ancaman itu adalah berupa keazaban dunia dan akhirat.
Firman Allah SWT:
"Sesungguhnya orang yang ingin agar (berita) perbuatan yang amat keji itu tersiar di kalangan orang-orang beriman, bagi mereka azab yang pedih di dunia dan akhirat." (An-Nur:19)
Dari itu wahai muslimin dan muslimat, janganlah melepaskan lidahmu dalam menyebarkan berita-berita jahat dan tuduhan-tuduhan palsu di dalam masyarakat Islam kerana dosanya sangat besar disisi Allah. Ali bin Abi Thalib ra. pernah berkata:
"Yang membuat kejahatan dan orang yang menyebarkan beritanya, sama banyak dosanya."
(Riwayat Bukhari)
Seorang Muslim yang hidup dalam masyarakat Isalm, adalah penutup berita jahat dan tuduhan palsu. Dia pemalu dan tidak tergamak untuk membuat dosa dan noda. dia mempunyai akhlak yang mulia yang diperolehinya dari didikan Islam yang menghalanginya daripada melibatkan diri dari menggugat dan melukai kehormatan manusia. Dia memelihara lidahnya dari menyiarkan berita maksiat sama ada berita itu didengarnya dari orang lain atau dia melihatnya sendiri. Semuanya itu ditutup rapat-rapat kerana mengamalkan Hadis Rasulullah SAW:
"Tiap-tiap umatku dimaafkan kecuali yang berterang-terangan. Yang dimaksudkan dengan berterang-terangan adalah seorang lelaki yagn berbuat dosa pada waktu malam, padahal pada waktu pagi hari Allah telah menutup segala rahsianya, lalu dia berkata: 'Hai polan sesungguhnya aku telah berbuat begini dan begini,' padahal dia telah bermalam ditutup oleh Allah SWT dan dia sendiri mendedahkan rahsia Allah SWT."
(Muttafaq alaihi)
Sabdanya lagi:
"Tidak menutup seorang hamba akan seorang hamba didunia melainkan Allah SWT menutupnya di akhirat, (menutup rahsianya, menutup cacat celanya.)"
(HR. Muslim)
Wahai muslimin dan muslimat! Sesungguhnya mengubati dan merawat kelemahan kemanusiaan bukanlah dengan cara mengintip kesalahannya, cacat celanya, mendedahkannya atau mengisytiharkannya. sebaliknya hendaklah menerangkan kebenaran kepada pendengaran mereka dan membawa mereka supaya taat kepada Allah. Disamping itu pula menerangkan akibat buruk dari maksiat yang dilakukan. Semuanya itu hendaklah dilakukan dengan lemah-lembut, sebab hanya dengan lemah-lembut sahajalah dapat membuka hati yang tertutup. Oleh kerana itu, Islam melarang kita mencari-cari kesalahan orang lain.
No comments:
Post a Comment