Sunday, September 19, 2010

Mencari Ketenangan Hati


Sahabat yang dikasihi Allah,
Ketenangan itu dicapai melalui zikrullah. Namun zikrullah yang bagaimana dapat memberi kesan dan impak kepada hati? Ramai yang berzikir tetapi tidak tenang. Ada orang berkata, “ketika saya dihimpit hutang, jatuh sakit, dicerca dan difitnah, saya pun berzikir. Saya ucapkan subhanallah, alhamdulillah, Allah hu Akbar beratus-ratus malah beribu-ribu kali tetapi mengapa hati tidak tenang juga?”

Zikrullah hakikatnya bukan sekadar menyebut atau menuturkan kalimah. Ada bezanya antara berzikir dengan “membaca” kalimah zikir. Zikir yang berkesan melibatkan tiga dimensi :
1. Dimensi lidah (qauli), 
2. Hati (qalbi) dan 
3. Perlakuan (fikli). 
Mari kita lihat lebih dekat bagaimana ketiga-tiga dimensi zikir ini diaplikasikan.
Kita mengucapkan subhanallah – ertinya Maha Suci Allah. Itu zikir qauli. Namun, pada masa yang sama hati hendaklah merasakan Allah itu Maha Suci pada zat, sifat dan af’al (perbuatannya). Segala ilmu yang kita miliki tentang kesucian Allah hendaklah dirasai bukan hanya diketahui. Allah itu misalnya, suci daripada sifat-sifat kotor seperti dendam, khianat, prasangka dan sebagainya.

Dimensi kata, rasa dan tindakan
Jika seorang hamba yang berdosa bertaubat kepada-Nya, Allah bukan sahaja mengampunkannya, malah menghapuskan catatan dosa itu, bahkan menyayangi dan memberi “hadiah” kepadanya.
Firman Allah maksudnya :
“Wahai orang-orang yang beriman! Bertaubatlah kepada Allah dengan taubat yang semurni-murninya, mudah-mudahan Allah akan menghapuskan kesalahan-kesalahan kamu dan memasukkan kamu ke dalam syurga-syurga yang mengalir di bawahnya sungai-sungai…”
(Surah At Tahrim ayat 8)

Firman Allah lagi:
“… Sungguh, Allah menyukai orang yang taubat dan menyukai orang yang menyucikan diri” 
(Surah Al-Baqarah ayat 222).

Sifat ini berbeza sekali dengan kita manusia yang kekadang begitu sukar memaafkan kesalahan orang lain. Dan segelintir yang mampu memaafkan pula begitu sukar melupakan . Hendak memberi hadiah kepada orang yang bersalah mencaci, memfitnah dan menghina kita? Begitulah kotornya hati kita yang sentiasa diselubungi dendam, prasangka dan sukar memaafkan. Tidak seperti Allah yang begitu suci, lunak dan pemaaf. Jadi, apabila kita bertasbih, rasa-rasa inilah yang harus diresapkan ke dalam hati. Ini zikir qalbi namanya.

Tidak cukup di tahap itu, zikrullah perlu dipertingkatkan lagi ke dimensi ketiga. Hendaklah orang yang bertasbih itu memastikan perlakuannya benar-benar menyucikan Allah. Ertinya, dia melakukan perkara yang selaras dengan suruhan Allah yang Maha Suci dan meninggalkan apa yang dilarang-Nya. Yang halal, wajib, harus dan sunat dibuat. Manakala yang haram dan makruh ditinggalkannya. Zina, mengumpat, mencuri, memfitnah dan lain-lain dosa yang keji dan kotor dijauhi. Bila ini dapat dilakukan kita telah tiba di dimensi ketiga zikrullah – zikir fikli! 

Sekiranya ketiga-tiga dimensi zikrullah itu dapat dilakukan, maka kesannya sangat mendalam kepada hati. Sekurang-kurang hati akan dapat merasakan empat perkara:

Rasa kehambaan.
Rasa bertuhan.
Memahami maksud takdir.
Mendapat hikmah di sebalik ujian.

Hati adalah sumber dari segala-galanya dalam hidup kita, agar kehidupan kita baik dan benar, maka kita perlu menjaga kebersihan hati kita. Jangan sampai hati kita kotori dengan hal-hal yang dapat merosak kehidupan kita apalagi sampai merosak kebahagiaan hidup kita di dunia ini dan di akhirat nanti. Untuk menjaga kebersihan hati maka kita juga perlu untuk menjaga penglihatan, pendengaran, fikiran, ucapan kita dari hal-hal yang dilarang oleh Allah s.w.t.. Dengan menjaga hal-hal tersebut kita dapat menjaga kebersihan hati kita. Dengan hati yang bersih kita akan dapat mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Rasa kehambaan.
Rasa kehambaan ialah rasa yang perlu ada di dalam hati seorang hamba Allah terhadap Tuhan-Nya. Antara rasa itu ialah rasa miskin, jahil, lemah, bersalah, hina dan lain-lain lagi. Bila diuji dengan kesakitan, kemiskinan, cercaan misalnya, seorang yang memiliki rasa kehambaan nampak segala-galanya itu datang daripada Allah. 
Firman Allah maksudnya :
“Katakanlah (Muhammad), tidak akan menimpa kami melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung kami, dan hanya kepada Allah bertawakal orang-orang yang beriman.” 
(Surah At Taubah ayat 51)

Seorang hamba akan pasrah dan merasakan bahawa dia wajar diuji. Bukankah dia seorang hamba? Dia akur dengan apa yang berlaku dan tidak mempersoalkan mengapa aku yang diuji? Kenapa aku, bukan orang lain? Ini samalah dengan mempersoalkan Allah yang mendatangkan ujian itu. Menerima hakikat bahawa kita layak diuji akan menyebabkan hati menjadi tenang. Jika kita “memberontak” hati akan bertambah kacau.

Sahabat yang dimuliakan,
Imam Ghazali rhm pernah menyatakan bahawa cukuplah seseorang hamba dikatakan sudah “memberontak” kepada Tuhannya apabila dia menukar kebiasaan-kebiasaan dalam hidupnya apabila diuji Allah dengan sesuatu yang tidak disukainya. Misalnya, dia tidak lalu mahu makan-minum secara teratur, tidak mandi, tidak menyisir rambut, tidak berpakaian kemas, tidak mengemaskan misai dan janggut dan lain-lain yang menjadi selalunya menjadi rutin hidupnya. Ungkapan mandi tak basah, tidur tak lena, makan tak kenyang adalah satu “demonstrasi” seorang yang sudah tercabut rasa kehambaannya apabila diuji.

Bila ditimpa ujian kita diajar untuk mengucapkan kalimah istirja’ – innalillah wa inna ilaihi rajiun.
Firman Allah s.w.t maksudnya :  “…Iaitu orang-orang yang apabila ditimpa musibah, mereka berkata sesungguhnya kami milik Allah dan kepada-nyalah kami kembali.” 
(Surah Al Baqarah ayat 156)

Mengapa kita diperintahkan mengucapkan istirja’? Kalimah ini sebenarnya mengingatkan kita agar kembali merasakan rasa kehambaan. Bahawa kita adalah hamba milik Allah dan kepada-Nya kita akan dikembalikan. Kita layak, patut dan mesti diuji kerana kita hamba, bukan tuan apalagi Tuhan dalam hidup ini.

Rasa berTuhan.
Rasa kehambaan yang serba lemah, miskin, kurang dan jahil itu mesti diimbangi oleh rasa bertuhan. Bila kita rasa lemah timbul pergantungan kepada yang Maha Kuat. Bila kita rasa kurang timbul pengharapan kepada yang Maha Sempurna. Bila miskin, timbul rasa hendak meminta kepada yang Maha Kaya. Rasa pengharapan, pengaduan dan permintaan hasil menghayati sifat-sifat Allah yang Maha Sempurna itulah yang dikatakan rasa berTuhan.

Jika rasa kehambaan menyebabkan kita takut, hina, lemah sebaliknya rasa berTuhan akan menimbulkan rasa berani, mulia dan kuat. Seorang hamba yang paling kuat di kalangan manusia ialah dia yang merasa lemah di sisi Allah. Ketika itu ujian walau bagaimana berat sekalipun akan mampu dihadapi kerana merasakan Allah akan membantunya. Inilah rasa yang dialami oleh Rasulullah s.a.w. yang menenteramkan kebimbangan Sayidina Abu Bakar ketika bersembunyi di gua Thaur dengan katanya, “La tahzan innallaha maana – Jangan takut, sesungguhnya Allah bersama kita!”

Rasa berTuhan inilah yang menyebabkan para Nabi dan Rasul, mujaddid dan mujtahid, para mujahid dan murabbi sanggup berdepan kekuatan majoriti masyarakat yang menentang mereka mahupun kezaliman pemerintah yang mempunyai kuasa. Tidak ada istilah kecewa dan putus asa dalam kamus hidup mereka. Do'a adalah senjata mereka manakala solat dan sabar menjadi wasilah mendapat pertolongan Allah. Firman Allah s.w.t. maksudnya :
“Dan pohonlah pertolongan dengan sabar dan solat.” (Surah Al Baqarah.)

Dalam apa jua keadaan, positif mahupun negatif, miskin ataupun kaya, berkuasa ataupun rakyat biasa, tidak dikenali ataupun popular, hati mereka tetap tenang. Firman Allahs.w.t. maksudnya :
“Dialah Tuhan yang menurunkan ketenangan ke dalam hati orang yang beriman, supaya keimanan mereka makin bertambah daripada keimanan yang telah ada. Kepunyaan Allah tentang langit dan bumi, dan Allah itu Maha Tahu dan Bijaksana.” 
(Surah Al Fathu ayat  4).

Bila hati tenang berlakulah keadaan yang dijelaskan oleh Rasulullah s.a.w  melalui sabdanya yang bermaksud : "Amat menarik hati keadaan orang beriman, semua pekerjaannya baik belaka, dan itu ada hanya pada orang beriman: Jika memperoleh kesenangan, dia bersyukur. Dan itu memberikannya kebaikan (pahala). Jika ditimpa bahaya (kesusahan), dia sabar dan itu juga memberikannya kebaikan.”

Memahami maksud takdir Allah.
Mana mungkin kita mengelakkan daripada diuji kerana itu adalah takdir Allah s.w.t.. Yang mampu kita buat hanyalah meningkatkan tahap kebergantungan kita kepada Allah di samping berusaha sedaya upaya menyelesaikan masalah itu. Ungkapan yang terkenal: "Kita tidak mampu mengawal arah tiupan angin, kita hanya mampu mengawal kemudi pelayaran kita."

Kemudi dalam pelayaran kehidupan kita hati. Hati yang bersifat bolak-balik (terutamanya bila diuji) hanya akan tenang bila kita beriman kepada Allah – yakin kepada kasih-sayang, keampunan dan sifat pemurah-Nya. Dalam apa jua takdir yang ditimpakan-Nya ke atas kita adalah bermaksud baik sekalipun kelihatan negatif. Baik dan buruk hanya pada pandangan kita yang terbatas, namun pada pandangan-Nya yang Maha luas, semua yang ditakdirkan ke atas hamba-Nya pasti bermaksud baik.

Tidak salah untuk kita menyelesaikan masalah yang menimpa (bahkan kita dituntut untuk berbuat demikian), namun jika masalah itu tidak juga dapat diselesaikan, bersangka baik kepada Allah berdasarkan firman-Nya yang bermaksud : “Ada perkara yang kamu tidak suka tetapi ia baik bagi kamu dan ada perkara yang kamu suka tetapi ia buruk bagi kamu, Dan sesungguhnya Allah Maha Mengetahui dan kamu tidak mengetahuinya”
(Surah Al Baqarah ayat 216)

Seorang ahli hikmah, Ibn Atoillah menjelaskan hakikat ini menerusi katanya, “Barang siapa yang menyangka sifat kasih sayang Allah terpisah dalam takdir-Nya, maka itu adalah kerana pendeknya penglihatan akal dan mata hati seseorang.”

Siapa tidak inginkan kekayaan, malah kita dituntut mencari harta. Namun jika setelah berusaha sedaya upaya, masih miskin juga, bersangka baiklah dengan Tuhan . Mungkin itu caranya untuk kita mendapat pahala sabar. Begitu juga kalau kita ditakdirkan kita tidak berilmu, maka berusahalah untuk belajar, kerana itulah maksud Allah mentakdirkan begitu.

Kalau kita berkuasa, Allah inginkan kita melaksanakan keadilan. Sebaliknya, kalau kita diperintah (oleh pemimpin yang baik), itulah jalan untuk kita memberi ketaatan. Rupanya cantik kita gunakan ke arah kebaikan. Bersyukurlah kita terselamat daripada fitnah dan godaan. Ya, dalam apa jua takdir Allah, hati kita dipimpin untuk memahami apa maksud Allah di sebalik takdir itu.

Jadi, kita tidak akan merungut, stres dan tertekan dengan ujian hidup. Hayatilah kata-apa yang ditulis oleh Ibnu Atoillah ini:
“Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.”

Tadbirlah hidup kita sebaik-baiknya, namun ingatlah takdir Tuhan sentiasa mengatasi tadbir insan. Jangan cuba mengambil alih “kerja Tuhan” yakni cuba menentukan arah angin dalam kehidupan ini tetapi buatlah kerja kita, yakni mengawal pelayaran hidup kita dengan meningkatkan iman dari semasa ke semasa.

Mendapat hikmah bila diuji.
Hikmah adalah sesuatu yang tersirat di sebalik yang tersurat. Hikmah dikurniakan sebagai hadiah paling besar dengan satu ujian. Hikmah hanya dapat ditempa oleh “mehnah” – didikan langsung daripada Allah melalui ujian-ujian-Nya.
Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya : “Perumpamaan orang yang beriman apabila ditimpa ujian, bagai besi yang dimasukkan ke dalam api, lalu hilanglah karatnya (tahi besi) dan tinggallah yang baik sahaja!”

Jika tidak diuji, bagaimana hamba yang taat itu hendak mendapat pahala sabar, syukur, reda, pemaaf, qanaah daripada Tuhan? Maka dengan ujian bentuk inilah ada di kalangan para Rasul ditingkatkan kepada darjat Ulul Azmi – yakni mereka yang paling gigih, sabar dan berani menanggung ujian. Ringkasnya, hikmah adalah kurnia termahal di sebalik ujian buat golongan para Nabi, Siddiqin, Syuhada dan Solihin ialah mereka yang sentiasa diuji.

Firman Allah s.w.t maksudnya : "Apakah kamu mengira akan masuk ke dalam Syurga sedangkan kepada kamu belum datang penderitaan sebagaimana yang dideritai orang-orang terdahulu daripada kamu, iaitu mereka ditimpa kesengsaraan, kemelaratan dan kegoncangan, sehingga Rasul dan orang-orang yang beriman bersamanya merintih: “Bilakah datangnya pertolongan Allah?”
(Surah al-Baqarah ayat 214)

Pendek kata, bagi orang beriman, ujian bukanlah sesuatu yang negatif kerana Allah sentiasa mempunyai maksud-maksud yang baik di sebaliknya. Malah dalam keadaan berdosa sekalipun, ujian didatangkan-Nya sebagai satu pengampunan. Manakala dalam keadaan taat, ujian didatangkan untuk meningkatkan darjat.

Justeru, telah sering para muqarrabin (orang yang hampir dengan Allah) tentang hikmah ujian dengan berkata: “Allah melapangkan bagi mu supaya engkau tidak selalu dalam kesempitan dan Allah menyempitkan bagi mu supaya engkau tidak hanyut dalam kelapangan, dan Allah melepaskan engkau dari keduanya, supaya engkau tidak bergantung kepada sesuatu selain Allah."

Apabila keempat-empat perkara ini dapat kita miliki maka hati akan sentiasa riang, gembira dan tenang dengan setiap pekerjaan yang dilakukan. Sentiasa melakukan kerja amal, tolong menolong, bergotong royong, sentiasa bercakap benar, sopan dan hidup dengan berkasih sayang antara satu dengan lain.

Marilah kita bersihkan hati kita dari segala kotorannya dengan memperbanyak zikrullah. Itulah satu-satunya jalan untuk mencari kebahagiaan di dunia dan di akhirat nanti. Manusia perlukan zikir umpama ikan perlukan air. Tanpa zikir, hati akan mati. Tidak salah memburu kekayaan, ilmu, nama yang baik, pangkat yang tinggi tetapi zikrullah mestilah menjadi teras dan asasnya.

Insya Allah, dengan zikrullah hati kita akan lapang sekalipun duduk di dalam pondok yang sempit apatah lagi kalau tinggal di istana yang luas. Inilah bukti keadilan Allah kerana meletakkan kebahagiaan pada zikrullah .Sesuatu yang dapat dicapai oleh semua manusia tidak kira miskin atau kaya, berkuasa atau rakyat jelata, hodoh atau jelita. Dengan itu semua orang layak untuk bahagia asalkan tahu erti dan melalui jalan yang sebenar dalam mencarinya. Rupa-rupanya yang di cari terlalu dekat… hanya berada di dalam hati sendiri!
(Di petik daripada tulisan  Ustaz Pahrol)


source: http://abubasyer.blogspot.com/search/label/Ketenangan%20hati

Tuesday, September 14, 2010

Kemanisan Iman


19 Feb 2006
Ustaz Dr. Abdullah Yasin

قَالَ رَسُوْلُ اللهِ صَلَّى اللهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ: ثَلاَثٌ مَنْ كُنَّ فِيْهِ وَجَدَ حَلاَوَةَ اْلإِيْمَـانِ: أَنْ يَكُوْنَ اللهُ وَرَسُوْلُهُ أَحَبَّ إِلَيْهِ مِمَّا سِوَاهُمَا ، وَأَنْ يُحِبَّ الْمَرْءَ لاَ يُحِبُّهُ إِلاَّ لِلَّهِ ، وَأَنْ يَكْرَهَ أَنْ يَعُوْدَ فِى الْكُفْرِ كَمَا يَكْرَهُ أَنْ يَلْقَى فِى النَّـارِ.

(رَوَاهُ الْبُخَارِى وَمُسْلِمٌ وَغَيْرُهُمَا)

Sabda Rasulullah SAW.: "Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman (iaitu) Allah dan Rasul-Nya adalah lebih dia cintai daripada selainnya (Allah dan Rasul), dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah, dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api".

(Hadis Sahih Riwayat Bukhari dan Muslim dan lain-lain)

MUKADDIMAH:

Iman adalah membenarkan secara putus (jazim) tanpa ragu sedikitpun dengan apa yang datang daripada Rasulullah SAW. yang diikuti dengan ketundukan hati dan ketenteraman jiwa menerima ketentuannya tanpa perasaan degil dan takabbur.

Terkadang-kadang terdapat iman yang jazim pada seseorang dan tidak ada keraguan sedikitpun terhadap kebenaran yang datang daripada Rasulullah SAW. tetapi sayangnya terkadang kadang iman tersebut diikuti oleh rasa sombong dan enggan serta tidak mahu melaksanakan apa yang diyakininya itu. Maka dalam keadaan seumpama ini, dia belum digolongkan sebagai orang yang beriman.

Juga terdapat orang yang memiliki iman yang jazim tanpa sedikitpun ada perasaan ragu, malahan dia tidak mempunyai sifat degil dan takabbur terhadap apa diyakininya. Tetapi sayangnya kita lihat orang tersebut tenggelam kedalam dunia kelalaian, dia tidak pandai menilai kadar iman sebagaimana semestinya, dia lalai untuk menunaikan kewajiban mensyukuri nikmat tersebut. Manusia seperti inilah yang dikatakan orang yang beriman atau " mukmin " yanq belum mendapatkan " kemanisan iman ".

Hadis sahih yang termaktub diatas menjelaskan kepada kita beberapa tanda orang-orang yang akan dapat merasakan kemanisan iman. Marilah kita berusaha menghias diri kita masing-masing untuk memiliki kesemua tanda-tanda tersebut semoga kita boleh hidup bahagia di dunia dan di akhirat.

SYARAH AL HADIS:

Tiga perkara yang barangsiapa terdapat (ketiga-tiga perkara itu) padanya nescaya dia memperolehi kemanisan iman.

Hadis ini mengandunqi asas-asas utama bagi semua pintu kebaikan. Kemanisan iman adalah sesuatu yang dapat dirasakan oleh mukmin yang tenteram jiwanya terhadap nikmat yang telah dianugerahkan oleh Allah kepadanya untuk mencapai kebahagiaan dunia dan akhirat.

Dengan kemanisan iman seseorang dapat menghadapi hidup dengan penuh ceria. Keimanannya dapat membimbing dirinya untuk menghadapi kehidupan ini walau bagaimanapun keadaan yang menimpanya. Jika sedang ditimpa kesusahan dia boleh bersabar, dan dia dapat merasakan nikmat kesabaran. Dan jika dia mendapat nikmat kesenangan maka ia pandai bersyukur, dan dia dapat merasakan nikmat kesyukuran. Dia meyakini bahawa segala yang menimpanya apakah baik atau buruk adalah telah ditentukan oleh Allah sejak azali. Oleh itu ia dengan jiwa tenang dapat menghadapi semua keadaan dengan rasa redha.

Kalaulah begitu besar nikmat yang dia dapat rasakan ketika di dunia lantaran kemanisan iman yang dimilikinya, sudah pasti lebih besar lagi nikmat yang bakal dia terima di sisi Allah kelak di akhirat.

Adalah Allah dan Rasul-Nya lebih dia cintai daripada selainnya.

Cinta ialah kecenderongan jiwa seseorang kepada sesuatu yang boleh memberinya kelazatan, manfaat ataupun kerana sesuatu itu sesuai dengan fitrah (tabiat) nya. Ada beberapa sebab yang boleh menimbulkan rasa cinta seseorang. Menurut Imam Al Ghazali bahawa ada 5 sebab yang mendorong perasaan cinta seseorang:

Cinta manusia kepada dirinya, kewujudannya, keberkekalan dan kesempurnaannya.
Cinta manusia kepada orang yang berbuat ihsan kepadanya dan orang yang boleh mendatangkan manfaat kepadanya.
Cinta manusia kepada orang yang suka berbuat ihsan semata-mata kerana ihsannya. Walaupun dia sendiri tidak berhajat kepada ihsan orang tersebut.
Cinta manusia kepada kecantikan dan keindahan. Keindahan yang memikat ada yang hissy (fisical) seperti keindahan warna warni bunga dan binatang, dan ada pula yang maknawy (abstrak) seperti akhlak yang luhur dan sifat mulia dari seseorang umpamanya: berilmu, cerdik, berani, adil, sabar, cekal dan lain lain.
Cinta manusia kepada seseorang disebabkan kerana orang yang dicintainya itu memiliki persamaan sifat dengannya, walaupun semua sebab terdahulu atau sebahagiannya tidak wujud pada orang tersebut. Ini sesuai dengan sabda Nabi SAW.: Roh-roh adalah tentera tentera yang dipersenjatakan, maka apa yang sesuai dengannya dia akan mesra dan apa yang bercanggah dengannya dia akan berbeza.
Dan jika kita amat amati sebab sebab cinta diatas dengan cermat nescaya kita dapati kesemua sebab itu mewajibkan orang beriman yang benar-benar mengenali Tuhannya untuk mencintai Allah dengan kadar cinta yang tidak ada tolok bandingannya.

Buah atau kesan cinta seseorang kepada Allah akan menimbulkan ketaatannya kepada Allah yakni melaksanakan suruhan Nya dan menjauhi laranqan-Nya. Tetapi perlu diingat bahawa terdapat perbezaan antara taat kerana cinta (mahabbah) dengan taat kerana mengharap dan takut (rakhbah dan Rahbah).

Diriwayatkan bahawa Nabi Isa AS. pernah melalui suatu kaum yang sedang beribadah kerana takut kepada Allah atau kerana mengharap syurga, lalu Isa berkata: Sesungguhnya kamu takut kepada makhluk dan mengharap kepada makhluk. Kemudian Isa meneruskan perjalanannya dan lalu pada suatu kaum yang sedang beribadah. Mereka berkata: Kami beribadah kepada Allah kerana kami cinta kepada-Nya dan kerana ta'zim (mengagungkan)-Nya. Nabi Isa berkata: Kamu semua adalah wali-wali Allah, dan aku diperintahkan agar duduk bersama kamu.

Ini tidak bererti jika kita beribadah lalu kita tidak boleh mengharap syurga dan takut kepada kepada neraka. Itu adalah diantara sifat orang yang beriman. Ini sebagaimana firman Allah:

تَتَجَافَى جُنُوبُهُمْ عَنِ الْمَضَاجِعِ يَدْعُونَ رَبَّهُمْ خَوْفًا وَطَمَعًا وَمِمَّا رَزَقْنَاهُمْ يُنْفِقُونَ (16)

Lambung mereka jauh dari tempat tidur tidurnya (sering beribadah malam) sedang mereka berdoa pada Tuhannya dengan rasa takut dan harap, dan mereka menafkahkan sebahagian dari rezki yang kami berikan kepada mereka. ( Al Sajadah / 32 : 16 )

Ayat di atas menegaskan bahawa di antara sifat orang orang yang beriman ialah mereka selalu mendirikan malam dengan beribadat sambil mengrahap akan keredaan Allah dan shurga Allah dan didorong oleh rasa takut kepada murka Allah dan siksaan neraka-Nya. Hanya saja jika " rasa cinta " yang mendorong kita untuk taat kepada Allah, maka nilai ibadah itu adalah lebih tinggi kalau dibandingkan hanya sekadar kerana takut dan harap.

Adapun cinta kepada Rasulullah SAW. adalah sebahagian daripada cinta kepada Allah. Kerana bagi kita tidak ada seorangpun yang lebih kita percayai selain orang telah dipilih oleh Allah sebagai utusan-Nya. Beliau telah diamanahkan oleh Allah untuk menyampaikan hidayah-Nya kepada umat manusia agar kita mendapat rahmat-Nya. Bagindalah orang yang paling berjasa menyelamatkan kita daripada kegelapan (kekufuran dan syirik) kepada cahaya terang benderang (Islam dan hidayah). Bagindalah yang telah membimbing kita untuk menuju kebahagian hakiki di dunia dan di akhirat.

Abdullah Bin Al Mubarak berkata:

العُلَمَـاءُ أَفْضَلُ مِنْ آبَـائِكُمْ ، قَالُوا : كَيْفَ ذَلِكَ ؟ قَالَ : آبَـاؤُكُمْ يَحْفَظُوْنَكُمْ مِنْ نَـارِ الدُّنْيَـا وَالْعُلَمَـاءُ يَحْفَظُونَكُمْ مِنْ نَـارِ اْلآخِرَةِ .

Para ‘ulama lebih utama daripada ibu bapa kamu. Mereka bertanya: Mengapa demikian (wahai tuan) ? Beliau menjawab: Ibu bapa kamu memelihara kamu dari api (kesusahan) dunia, sedangkan para ‘ulama pula memelihara kamu dari api (kesusahan) akhirat.

Demikianlah peranan dan jasa para ‘ulama yang ikhlas yang telah membimbing manusia agar memiliki akidah yang betul agar terhindar dari syirik dan khurafat, yang telah mengajar mereka cara ibadat yang betul sehingga terhindar dari perbuatan bid’ah, yang telah mengajar mereka budi pekerti yang mulia sehingga dengan demikian, mereka bukan saja terhindar daripada kesusahan di dunia tetapi juga akan terhindar daripada azab Allah yang amat pedih di akhirat. Dan kalaulah demikian peranan para ‘ulama, sudah tentu peranan Rasulullah saw jauh lebih besar dari itu kerana semua ajaran para ‘ulama bersumber daripada ajaran Rasulullah saw.

Jadi mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada mencintai yang lain, maksudnya ialah kita mestilah mencintai Allah dan Rasul-Nya melebihi daripada kecintaan kita kepada ibu bapa, isteri, anak-anak, saudara mara, hatta terhadap diri kita sendiri. Dan selanjutnya kecintaan kita yang mendalam itulah yang mendorong kita untuk berbakti kepada Allah dan Rasul-Nya

Dan dia mencintai seseorang semata-mata kerana Allah

Cinta jenis ini juga adalah cabang dari kecintaan seseorang terhadap Allah. Seseorang jika benar-benar cinta kepada Allah, maka kesan cintanya itu akan mendorong dia untuk suka jika orang tersebut taat kepada Allah, dan sebaliknya dia akan bersedih dan berusaha menegurnya jika rakannya itu melakukan dosa.

Ini tidak bererti jika ia mencintai seseorang kerana tujuan selain itu lalu ia terkeluar daripada iman. Hanya saja sebagai bukti kemanisan iman seseorang ialah jika dia cinta kepada seseorang semata-mata kerana Allah, dan jika ia benci kepada seseorang juga adalah semata-mata kerana Allah.

Dan dia benci untuk kembali kepada kekufuran (maksiat) sebagaimana dia benci dilemparkan kedalam api.

Mukmin yang hakiki adalah orang yang tidak ragu lagi bahawa sekiranya dia kembali melakukan amal-amal kufur (dosa) setelah ia insaf dan mendapat petunjuk Allah (taufiq) maka tidak mustahil dia akan dilemparkan kedalam api neraka di akhirat nanti. Oleh sebab itu imannya yang mendalam mencegah dia daripada mengulangi lagi dosa-dosa lampau sebagaimana dia benci dilemparkan ke dalam api di dunia ini. Dan sebagaimana kebenciannya kalau dirinya akan dihumban ke dalam api yang bernyala-nyala, begitu jugalah darjat kebenciannya jika anaknya, ibu bapanya, isterinya dan saudara maranya akan dilemparkan kedalam api.

Adakah manusia yang melihat manusia lain, samada dia kenal atau tidak, walaupun musuhnya, yang akan terjatuh ke dalam api lalu dia biarkan tidak segera ditolongnya? Demi perasaan kemanusiaan, biasanya manusia segera akan menolongnya. Betapa kalau pendorongnya justeru keimanan?

Jadi mukmin yang hakiki bukan saja benci kalau dirinya mengulangi dosa dosa silam, malahan dia juga merasa benci kalau orang lain melakukan dosa, lebih lebih lagi terhadap mereka yang mempunyai hubungan kerabat dengannya.

source: http://www.al-nidaa.com.my/artikel.php?id=44&action=view

Lima Perkara Yang Dicintai Manusia

Sudah beberapa hari umat islam telah menyambut bulan Ramadhan dan menunaikan ibadat puasa. Ibadat puasa dapat mendidik diri manusia untuk menjadi orang yang lebih bertakwa kepada Allah. Pada siang harinya mereka berpuasa dan pada malam harinya mereka menunaikan ibadat solat sunat terawih. Bulan puasa juga mendidik manusia untuk lebih mengingati Allah dan meninggalkan kepada perkara-perkara yang mereka suka lakukan.
Dalam diri kita sebagai manusia ada beberapa perkara yang kita cintai. Perkara-perkara yang dicintai ini boleh menyebabkan kita lalai dari mengingati Allah.
Rasulullah S.A.W telah bersabda yang bermaksud:
“Akan datang satu masa umatku, ketika itu mereka mencintai lima macam dan melupakan lima perkara iaitu: Mereka mencintai kepada dunia dan lupa kepada akhirat. Mereka mencintai kepada kehidupan dan lupa kepada kematian. Mereka cinta kepada istana dan lupa kepada kuburan. Mereka cinta kepada harta dan lupa kepada perhitungan di akhirat. Dan mereka cinta kepada makhluk dan lupa kepada Allah.”
1) Cinta kepada dunia dan lupa kepada akhirat
Ramai manusia pada hari ini terlalu mencintai kehidupan dunia. Mereka sangat mencintai kehidupan dunia yang penuh dengan nikmat yang begitu indah sekali. Nikmat yang Allah kurniakan di dunia ini adalah nikmat yang bersifat sementara sahaja tapi nikmat syurga di akhirat kelak adalah yang bersifat kekal. Tapi oleh kerana manusia itu selalu lupa dan lalai dari mengingati Allah, mereka akan mengejar dunia ini dengan begitu ghairah sekali dan melupakan kehidupan akhirat.
2) Cinta kepada kehidupan dan lupa kepada kematian
Setiap yang hidup pasti akan menemui mati. Itulah yang sudah pasti berlaku bagi seorang manusia. Namun begitu kematian sering dilupakan oleh manusia kerana kehidupan dunia yang terlalu penuh dengan kenikmatan ini. Mati seolah-olah lambat lagi bagi mereka yang sedang leka dengan kehidupan dunia ini. Meraka menganggap mereka akan hidup selamanya di dunia ini.
3) Cinta kepada istana dan lupa kepada kuburan
Manusia hari ini berlumba-lumba untuk membina rumah yang besar dan mewah supaya mereka akan selesa tinggal di dalamnya. Tidak salah sebenarnya untuk membina rumah seperti istana sekalipun tapi adakah kita akan selalu mengingati alam kubur yang bakal menjadi tempat tinggal kita selepas mati.
4) Cinta kepada harta dan lupa kepada perhitungan di akhirat
Harta dunia ini  membuatkan manusia selalu berlumba-lumba mengejarnya. Sehinggakan mereka tidak sempat untuk melakukan amal kebajikan kerana terlalu mengejar harta dunia ini. Ini kerana segala apa yang mereka kerjakan di dunia ini akan dihitung oleh Allah di akhirat kelak. Jika baik amalan di dunia ini maka baiklah kehidupan di akhirat kelak.
5) Cinta kepada makhluk dan lupa kepada Allah
Sudah menjadi fitrah manusia mencintai sesama makhluknya. Contohnya seorang lelaki mencintai wanita yang sememangnya menjadi fitrah seorang manusia. Tapi kadang kala manusia ini terlalu mencintai pasangan yang mereka cintai hingga menyebabkan mereka lupa kepada Allah. Sepatutnya cinta kepada Allah hendaklah melebihi dari segalanya yang ada di dunia ini.
Semoga dengan perkongsian ini akan memberi kesedaran kepada diri saya sendiri dan berkongsi dengan semua pembaca blog ini. Sebenarnya lima perkara-perkara ini ada dalam diri kita semua yang bergelar seorang manusia. Cuma janganlah kita mencintai lima perkara ini tapi melupakan lima perkara yang sepatutnya kita perlu ingat. Biarlah seimbang di antara kehidupan dunia dan akhirat kita. Setiap amalan yang kita lakukan di dunia pasti akan di hitung di akhirat kelak. Dengan kehadiran bulan Ramadhan ini diharapkan akan meningkatkan lagi ketakwaan kita kepada Allah dengan melakukan lebih banyak amal kebaikan.

Ridho dengan Setiap Episode Hidup adalah Bukti Cinta Kepada Allah

Ridho kepada takdir Allah adalah bukti cinta kepada Allah SWT. Sangatlah penting untuk menanamkan hal ini karena banyak dari kita mengobral cinta. Ridho kepada takdir Allah dapat diartikan ridho dengan apapun yang Allah tetapkan tentang diri kita. Janganlah mempersalahkan kelahiran kita karena Allah telah meniupkan takdir dalam hidup kita sejak 4 bulan dalam kandungan. Ridholah dengan setiap episode dalam hidup kita. Janganlah kita menyalahi episode hidup dan segeralah bertaubat kepada Allah. Bertambahnya umur dalam hidup kita gunakanlah untuk meningkatkan rasa syukur kepada Allah. Bertambah umur juga bertambah waktu kita untuk lebih memperbaiki diri untuk dekat kepada Allah. Bentuk kecintaan yang tulus kepada Allah akan terjadi kalau perpindahan episode dalam hidup kita tidak dirasakan berat. Sebaliknya perasaan tertekan dalam hidup, menandakan cinta kita masih kepada dunia.

Sesungguhnya tidak ada takdir Allah yang buruk, hanya kita harus siap dengan berbagai episode. Sadarilah bahwa hidup kita tidak selalu sesuai dengan harapan. Allah telah membuat hidup kita dimana ada masa-masa jemu. Rasa jemu dalam hidup adalah variasi hidup yang terbaik yang telah Allah ciptakan dan semata-mata menyuruh kita untuk dekat dengan Nya. Dalam Q.S Al-Furqon (77) ayat 2 bahwa “yang kepunyaan-Nya-lah kerajaan langit dan bumi, dan Dia tidak mempunyai anak, dan tidak ada sekutu bagi-Nya dalam kekuasaan (Nya), dan Dia telah menciptakan segala sesuatu, dan Dia menetapkan ukuran-ukurannya dengan serapi-rapinya. Maka dari itu tidak ada yang meleset dari perhitungan Allah atas semua tindakan kita dan ketaatan kita kepada Allah adalah kemuliaan dunia dan akhirat.

Jadi jangan pernah risau dengan peraturan Allah tentang hidup kita. Apabila kita merasa tertekan, jalanilah dengan ridho Allah. Ingatlah bahwa Allah bersama kita dan banyak rahasia atau mukjizat dari Allah yang tidak kita ketahui.


 


Design by: Blogger XML Skins | Distributed by: Blogger Templates | Sponsored by Application Monitoring