Friday, September 25, 2009

Tanda Munafiq: Mengingkari Taqdir Allah SWT

by Ust. YUSSAINE YAHYA

Imam Ath Thabrani rahimahulLah telah meriwayatkan sebuah hadis qudsi: “Barangsiapa yang tidak redha dengan ketentuan taqdirKu maka carilah tuhan selain Aku”.

Diantara perkara yang memerlukan ketundukan mutlak kepada Allah serta penyerahan diri yang sebulat-bulatnya ialah menerima taqdir dan segala ketentuan Allah SWT ke atas kita sebagai hambaNya. Selain dari hokum dan syariat, taqdir serta qadha’ qadar adalah antara perkara yang tiada campur tangan manusia sedikitpun.


Firman Allah SWT :
“Sesungguhnya Kami menciptakan tiap-tiap sesuatu menurut takdir (yang telah ditentukan).” Surah Al Qamar : 49
Dan firman Allah lagi :
“Sesungguhnya Allah tetap melakukan segala perkara yang dikehendakiNya. Allah telahpun menentukan kadar dan masa bagi berlakunya tiap-tiap sesuatu.” Ath Thalaaq : 3
Seorang mukmin senantiasa tunduk kepada ketentuan Allah. Baik buruk serta aqibah dari setiap perkara yang menimpa dirinya diserahkan sepenuhnya kepada ketentuan Allah SWT.


Antara perkara yang mendorong seseorang itu pasrah kepada ketentuan Allah ialah :
1. Ilmu yang menyuburkan keimanannya serta keyakinannya kepada setiap ketentuan Allah itu ada hikmah dan kebaikannya.

2. Kesedaran yang tinggi bahawa manusia sebagai hamba ciptaan Allah SWT sememangnya tiada kuasa dan kekuatan untuk menolak segala ketentuan dan kemahuan Allah SWT.

3. Meyakini bahawa jika diuji dengan musibah dan ujian yang tidak disukainya, maka itu semua adalah untuk membersihkan dirinya dari dosa yang lalu.

4. Kesabaran dan ketaatan dalam menerima ketentuan taqdir Allah akan menyebabkan kemuliaan dan darjatnya diangkat di sisi Allah SWT.

5. Besarnya pahala sabar dan pasrah kepada ketentuan Allah serta janji syurga dari Allah SWT.


BAGAIMANA PULA DENGAN MUNAFIQ?
Antara sifat kaum munafiq adalah ingkar serta enggan menerima dan tidak mahu tunduk kepada taqdir dan ketentuan Allah SWT. Ini adalah kerana kepalsuan iman mereka tidak akan menguatkan iman serta keyakinan hati mereka kepada Allah SWT. Sesuatu yang palsu tidak kuat dan tidak kukuh. Lama kelamaan warnanya akan luntur, lusuh dan akhirnya akan pecah dan rosak.
Sebenarnya rahsia nifaq dalam hati munafiq itu hanya menunggu masa untuk pecah dan rosak. Taqdir dan ketentuan Allah SWT lah yang akan mendedahkan kepalsuan serta memecahkan pekung di dada mereka.
Orang munafiq tidak mampu dan tidak tahan berdepan dengan ujian Allah. Mereka menganggap taqdir Allah hanya menyusahkan serta memberatkan serta memayahkan mereka. Sedang Mukmin dengan keteguhan iman, berdepan dengan taqdir Allah dengan redha serta sabar.


Semoga Allah mengurniakan kita hati yang tunduk, redha serta sabar dalam mendepani ujian serta taqdir Allah SWT.


No comments:

 


Design by: Blogger XML Skins | Distributed by: Blogger Templates | Sponsored by Application Monitoring