Petikan drp Kolum Akhir Zaman dlm Majalah Solusi oleh: Ust Umar M Nor.
Saya berani menegaskan bahawa tidak beriman sama sekali orang yang berusaha mencari-cari aib saudaranya, lalu menyebarluaskan aib tersebut dalam kalangan masyarakat untuk merosakkan nama baiknya. Namun sedihnya, sikap ini sering dilakukan oleh tokoh-tokoh tertentu yang seharusnya takut kepada hisab Allah pada hari kebangkitan.
Imam al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan sebuah hadis daripada seorang tokoh tabiin yang bernama Safwan bin Muhriz al-Mazini katanya, “Apabila saya sedang berjalan sambil bergandingan tangan dengan Abdullah bin Umar, tiba-tiba seorang laki-laki menghalang. Ia lalu berkata kepada Ibn Umar, “Bagaimana engkau mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda tentang najwa (bisikan antara Allah dengan hambanya ketika hisab)?
Ibn Umar menjawab: “Aku mendengar Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud: ‘Sesungguhnya Allah s.w.t. mendekatkan seorang Mukmin lalu menutupinya. Allah berfirman (mafhumnya): ‘Ingatkah kamu dengan dosa ini?’ Ia menjawab: ‘Ya, wahai Tuhanku.’ Allah terus menyebutkan semua dosa-dosanya sehingga orang itu menyangka di dalam hati bahawa ia pasti celaka. Setelah itu, Allah berfirman (yang bermaksud): ‘Aku telah menutupi dosa-dosamu ini di dunia, dan pada hari ini aku mengampunkannya.’ Lalu diberikan kepadanya buku kebaikannya. Adapun orang kafir dan munafik, maka para saksi berkata dengan suara keras: ‘Inilah orang yang mendustakan Tuhannya. Sesungguhnya laknat Allah akan ditimpakan kepada orang yang aniaya.”’
Hisab Mukmin
Kita masih dalam perbincangan tentang peristiwa besar yang akan kita lalui pada hari kebangkitan nanti. Hadis sahih ini memberikan gambaran jelas bahawa proses pelaksanaan hisab berbeza-beza sesuai dengan perbezaan amal perbuatan manusia. Sebab tidak mungkin seseorang yang beriman dan selalu menjaga hak-hak Allah akan diperlakukan sama dengan orang kafir yang tidak pernah mengendahkan perintah dan larangan agama.
Seorang Mukmin yang meyakini pengawasan Allah setiap saat akan terdorong untuk selalu menjaga diri daripada dosa. Dan jika terjatuh juga dalam dosa kerana sifat kemanusiaannya, maka dia akan mengikutinya dengan istighfar, penyesalan dan azam untuk tidak mengulanginya lagi. Orang seperti ini akan melalui hisab dengan mudah sebagaimana firman Allah yang bermaksud: “Adapun orang yang diberikan kitabnya dari sebelah kanannya, maka dia akan diperiksa (hisab) dengan pemeriksaan yang mudah.” (Surah al-Inshiqaq 84: 7-8)
Hadis Ibn Umar di atas menjelaskan bahawa hisab tersebut akan dilakukan secara peribadi, atau najwa. Al-Hafiz Ibn Hajar mentafsirkan lafaz najwa ini dengan katanya, “Iaitu (Allah) berbicara kepada seseorang tanpa didengar oleh orang lain.” Hal tersebut dijelaskan Rasulullah s.a.w. dengan menceritakan bagaimana Allah s.w.t. mendekatkan hamba berkenaan lalu menutupinya dengan hijab agar tidak ada yang mendengar perbincangan yang akan terjadi antara dirinya dengan Allah s.w.t.
Para ulama menyimpulkan bahawa najwa ini dilakukan untuk seorang hamba yang tidak suka melakukan dosa dengan terang-terangan di hadapan manusia lain tanpa malu-malu. Sebaliknya, ia terjatuh ke perbuatan dosa tersebut dalam kesunyian, lalu ia merasa malu dan berusaha menutupi dosanya sekuat tenaga. Dan tuhan kita terlalu pengasih untuk menyingkap aib seorang pemalu yang berusaha menutupinya di dunia. Oleh sebab itu, Allah menghisabnya secara tertutup lalu mengampuni semua dosanya.
Hadis najwa ini mengandungi anjuran agar kita selalu menutupi dosa, sama ada dosa yang kita lakukan sendiri ataupun dosa yang dilakukan orang lain. Dan anjuran ini sangat banyak kita temui di dalam hadis-hadis lain. Dalam hadis riwayat Muslim, Abu Daud dan al-Tirmizi daripad Abu Hurairah, Rasulullah bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang menutupi (aib dan dosa) seorang Muslim, Allah akan menutupinya (aib dan dosa) di dunia dan akhirat.”
Dalam hadis riwayat Ibn Majah daripada Ibn Abbas, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Barang siapa yang menyingkap aib keburukan saudaranya yang Muslim, Allah akan menyingkap keburukannya sehingga ia akan terhina meskipun di rumahnya sendiri.” Dalam hadis riwayat al-Tirmizi daripada Muadz bin Jabal, Rasulullah s.a.w. bersabda maksudnya, “Barang siapa yang mencemuh saudaranya dengan dosa yang pernah dilakukan, maka orang itu tidak akan mati sebelum melakukan dosa tersebut.”
Berdasarkan hadis-hadis di atas, saya berani menegaskan bahawa tidak beriman sama sekali orang yang berusaha mencari-cari aib saudaranya, lalu menyebarluaskan aib tersebut dalam kalangan masyarakat untuk merosakkan nama baiknya. Namun sedihnya, sikap ini sering dilakukan oleh tokoh-tokoh tertentu yang seharusnya takut kepada hisab Allah pada hari kebangkitan.
Hisab Kafir dan Munafik
Sementara orang kafir dan munafik, iaitu orang yang tidak menyedari sama sekali pengawasan Allah s.w.t. kerana tidak beriman kepada Tuhan pencipta alam semesta, maka mereka melakukan kemaksiatan di depan semua manusia tanpa malu-malu. Sebagai balasannya, Allah akan menghisab mereka dengan disaksikan seluruh makhluk sebagai penghinaan dan seksaan mental sebelum mereka merasakan seksa neraka.
Di hadapan seluruh makhluk, Allah akan mempersoalkan semua dosa yang pernah ia lakukan, daripada dosa yang besar hingga sekecil-kecilnya. Setiap kali ia memungkiri dosa tersebut, Allah mendatangkan saksi-saksi yang tidak dapat mereka dustakan. “Pada hari ini kami tutup mulut mereka; dan berkatalah kepada kami tangan mereka dan memberi kesaksianlah kaki-kaki mereka terhadap apa yang dahulu mereka usahakan.” (Surah Yasin 36: 65).
Imam Abu Daud dalam Kitab al-Ba‛th meriwayatkan daripada Muawiyah bin Qurrah sabda Nabi s.a.w. yang bermaksud, “Mereka akan datang pada hari kiamat dengan mulut tertutup. Anggota tubuhnya yang pertama berbicara adalah paha dan tangannya.”
Pendek kata, setiap orang yang melalui hisab yang sangat teliti ini tidak akan selamat. Sebagaimana dalam hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Setiap orang yang dihisab pasti celaka.” Dalam riwayat lain pula diriwayatkan, “…pasti diseksa.” Imam al-Nawawi berkata, “Itu kerana kelalaian dan kekurangan menguasai sifat manusia. Barang siapa yang dihisab dengan sangat teliti, dia pasti celaka dan masuk neraka.”
Termasuk dalam kelompok ini adalah sebahagian umat Islam yang meniru tindak-tanduk orang kafir lalu membuang rasa malu dari hatinya dan terjun ke arena maksiat tanpa takut. Dalam Sahihain daripada Abu Hurairah, Rasulullah s.a.w. bersabda yang bermaksud, “Setiap umatku akan dimaafkan kecuali mujahirun.” Ibn Hajar berkata, “Mujahir adalah orang yang terang-terangan menampakkan maksiat atau orang yang menceritakan perbuatan maksiat yang pernah dilakukannya.”
Menampakkan maksiat merupakan sebuah perbuatan keji yang mencerminkan ketiadaan iman, kerendahan moral dan sikap penghinaan terhadap norma susila kemasyarakatan. Sementara menceritakan perbuatan dosa yang pernah dilakukan, apalagi jika menceritakannya dengan penuh kebanggaan, sangat berlawanan dengan sikap manusia berbudi yang merasa malu mengingati kesalahan yang pernah dilakukannya.
Namun sedihnya, kelompok mujahirun di dalam masyarakat kita semakin hari semakin membesar terlihat daripada gejala sosial yang berlaku dalam kalangan anak-anak muda kita. Rasa malu hampir hilang seiring dengan hilangnya kesedaran untuk tunduk kepada aturan pergaulan laki-laki dan perempuan yang telah digariskan syarak. Sentuhan kulit antara dua orang yang bukan mahram, khalwat dan perzinaan tidak lagi dianggap satu dosa melainkan sesuatu yang biasa dalam pergaulan. Inna lillahi wa inna ilaihi rajiun.
Masuk Syurga Tanpa Hisab
Selain daripada dua kelompok di atas, terdapat sebuah kelompok manusia yang begitu terhormat di sisi Allah sehingga mereka tidak perlu melalui proses hisab dan semua kengeriannya. Al-Bukhari dan Muslim meriwayatkan daripada ‘Imran bin Husain sabda Rasulullah s.a.w. yang bermaksud: “Akan masuk syurga 70,000 daripada umatku tanpa (melalui) hisab.” Para sahabat bertanya: “Siapakah mereka itu, wahai Rasulullah s.a.w.?” Baginda menjawab yang bermaksud: “Mereka adalah orang yang tidak melakukan perubatan dengan besi panas (kay), tidak membaca jampi-jampi (ruqyah), dan orang yang selalu bertawakal kepada Tuhan mereka.”
Dalam riwayat lain diceritakan bahawa kelompok ini akan masuk ke syurga bersama-sama sambil bergandingan tangan untuk menunjukkan bahawa mereka adalah saudara seagama yang saling cinta mencintai. Sahl bin Sa’ad meriwayatkan sabda Rasulullah yang bermaksud, “Akan masuk syurga 70,000 orang daripada umatku sambil berpegangan tangan satu sama lain, mereka masuk ke syurga sambil bersama-sama.” (Riwayat al-Bukhari dan Muslim)
Ya Allah, jadikanlah kami orang yang memiliki tawakal yang sempurna, cinta kepada semua Muslim, dan janganlah Engkau jadikan di dalam hati kami sifat dengki dan dendam kepada saudara seiman. Jadikanlah kami dan orang tua kami termasuk hamba-hamba-Mu yang masuk syurga tanpa hisab. Sesungguhnya Engkau selalu mendengar dan mengabulkan doa hamba-hamba-Nya. Amin ya rabbal ‘alamin.
No comments:
Post a Comment