Monday, April 27, 2009

Mohon Ampun, Tutup Keaiban Dosa Daripada Terdedah

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud:

"Dan (juga) orang-orang yang apabila menerjakan perbuatan keji atau menganiaya
diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa
mereka & siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?"
(Surah Ali-Imran:135)

Istighfar bererti minta ampun kepada Allah SWT. Istighfar juga bererti minta ditudung (ditutup) segala kesilapan atau kesalahan.Minta dilindung supaya ketika dibangunkan dari kubur di Mahsyar kelak, segala keaiban tidak terdedah kepada umum.

Dalam ayat 135 surah Ali Imran, Tuhan menjelaskan sifat baik di kalangan orang beriman yang 'ashi (derhaka), apabila melakukan perkara keji atau menganiaya & dedah diri kepada bahaya api neraka. Lalu ingat & mohon ampun (istighfar) kepada Allah SWT minta ditudung dosanya. Sesal kepada Tuhan kerana derhaka kepada-Nya, dengan anggota yang dikurnia oleh Allah SWT.

Menderhaka dengan mata kerana memandang perkara yang haram. Menderhaka dengan lidah kerana mengumpat serta berkata perkara haram. Derhaka dengan mulut kerana makan rezeki yang haram. Semua anggota badan adalah kurniaan Tuhan, yang sepatutnya digunakan untuk taat & berbakti kepada-Nya, bukan sebaliknya.

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

"Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan & menganiaya dirinya, kemudian
dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampunan lagi
Maha Penyayang" (Surah An-Nisa:110)

Pada ayat tersebut menjelaskan bahawa orang yang telah melakukan kejahatan atau menzalimi diri, kemudian ingat kepada Allah SWT & beristighfar akan mendapati bahawa Allah SWT itu satu Zat yang sangat suka mengampunkan dosa, serta amat Kasihan Belas kepada manusia. Mukmin yang 'ashi hendaklah berkeyakinan bahawa dosanya akan diampunkan & dilindung daripada pandangan ramai, dengan syarat mereka menyesali & taubat bermua daripada hati yang telah insaf.

Sepenuh hati berazam tidak melakukan dosa lagi, lantas lisannya menyebut 'Astaghfirullah' atau 'Lailaha illa anta inni kuntu minaz zolimin' atau 'Allahummaghfirli wa liwalidaiyya'.
Atau katalah apa saja yang menunjukkan mereka tidak akan mengulangi kesalahan & kesilapan yang telah dilakukan. Insya-Allah, Tuhan akan terima taubat & ditudung-Nya dosa mereka. Diberi keupayaan menentangnya ketika hati teringin melakukannya.

Timbul rasa malu & gerun, akhirnya akan jadi manusia yang patuh & taat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu & mohon ampun kepada-Nya.
Sesungguhnya Dia Maha Pengampun" (Surah An-Nashr:3

Segala kerja bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati. Jika bertasbih & beristighfar terbit daripada sanubari insaf, hasil daripada sikap tersebut dalam jangka masa yang tidak lama, akan terbit rasa malu kepada diri untuk mengingkari istighfar yang diucapkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan yang memohon ampun pada waktu sahur (sebelum fajar)" (Surah Ali Imran:17)

Sifat orang mukmin ialah mereka berusaha bangun sebelum fajar untuk beristighfar kepada Allah SWT. Boleh beristighfar pada siang hari, tetapi kemungkinan beristighfar sekadar meniru orang lain. Adapun bangun sebelum fajar adalah lambang keikhlasan kepada Allah SWT, ini kerana kebanyakan manusia masih tidur.

Sesetengah sifat orang mukmin ialah hanya sedikit tidurnya pada waktu malam. Orang yang berkeadaan begini pada siang harinya tak mungkin melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah SWT. Sebaliknya jika seseorang beristighfar & berzikir pada waktu malam kerana tarik perhatian jiran sebelah, supaya jirannya tahu dia bangun beramal waktu malam, nescaya tiada kesan yang positif pada siang harinya, kerana dia beramal sekadar tarik perhatian manusia.

Rasulullah SAW amat gemar beristighfar dengan :
"Subhanaka Allahumma wa bihamdika Ighfirli. Innaka antat tauwwabur Rahim"
Bermaksud: Maha suci Engkau (daripada sifat kekurangan), ya allah Tuhanku, dan aku memuji Engkau wahai Tuhanku ampunilah (segala dosa)ku. Sesungguhnya Engkau amat penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Lafaz istighfar hanya dihujung kalimah berbunyi "Ighfirli", tetapi dimulai dengan kata-kata sanjungan & bunga pujian.
Iaitu tasbih mensucikan Allah SWT dari segala sifat kekurangan & kelemahan. Bertahmid memuji-Nya dengan segala kemuliaan yang tidak terhingga. Sebelum meminta sesuatu daripada Tuhan lebih dahulu memuji-Nya dengan kata sanjungan. Inilah kaedah yang amat disukai oleh Allah SWT kerana meletakkan-Nya di tempat paling suci & mulia, sesuai dengan sifat Keagungan Zat-Nya.

Justeru jika seseorang itu rajin bertasbih menyebut 'Subhanallah' dengan penuh kesedaran, misalnya menyebut 'Subhanallah' yang bermaksud Maha Suci Allah dari kejahilan, bererti Dialah Tuhan yang Maha Berilmu. Sebut berulangkali 'Subhanallah' Maha Suci Allah dari sifat kelemahan yang lain, bererti Dialah Tuhan penuh dengan segala sifat Kesempurnaan. Sanjunglah Allah SWT dengan tasbih & tahmid

Taken from: Muaidzah oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat - Harakah bil 1432
source: http://laman-annur.blogspot.com/2009/04/mohon-ampun-tutup-keaiban-dosa-daripada.html


No comments:

 


Design by: Blogger XML Skins | Distributed by: Blogger Templates | Sponsored by Application Monitoring