Tuesday, April 28, 2009

Monday, April 27, 2009

Tangisan Keinsafan Pembersih Dosa

Bangun dan sujud pada tengah malam adalah amalan Rasulullah serta para sahabat. Saidina Abu Bakar al-Siddiq adalah seorang sahabat Rasulullah SAW yang amat penyedih. Hatinya begitu lembut, sensitif dan cepat tersentuh mendengar ayat Allah.
Saidina Umar pula suka mengingatkan dirinya terhadap hari perhitungan. Wajahnya diguris bekas aliran tangisan yang terus-menerus mengalir mengingat hari perjumpaan dengan Allah kelak.
Tangisan adalah ubat bagi hati yang keras. Ia mendatangkan cahaya dan membersih daripada kekotoran dosa, manakala berlebihan tertawa dan bersenda gurau membawa kepada kelalaian, mengeraskan hati dan mengeruhkan kesuciannya.
Ada beberapa alasan mengapa orang beriman perlu menangisi dirinya.
A) DIA TIDAK TAHU QADA DAN QADAR ATAS DIRINYA.
Rasulullah SAW bersabda maksudnya: "... Maka, demi Allah yang tidak ada Tuhan selain-Nya, sesungguhnya seseorang mengerjakan amal ahli syurga sehingga tidak ada jarak antaranya dengan syurga itu melainkan sehasta, kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu ia pun mengerjakan amal ahli neraka maka masuklah ia ke dalamnya. Dan seseorang mengerjakan amal ahli neraka sehingga tidak ada jarak di antaranya dengan neraka kecuali sehasta. Kemudian terdahulu atasnya ketentuan tulisan lalu dia pun mengerjakan amalan ahli syurga maka masuklah dia ke dalamnya." (HR al-Bukhari dan Muslim).
Siapakah yang boleh menjamin nama kita termasuk dalam senarai ahli syurga? Tidakkah hal itu petanda bahawa kita tidak berkuasa menolong diri sendiri? Letakkanlah diri kita sentiasa dalam keadaan cemas, takut dan harap kepada Allah. Caranya dengan banyak menangis dan memohon pertolongan-Nya.
B) MENANGISLAH KERANA INGAT TERHADAP MALAM PERTAMA DI ALAM KUBUR.
Siapakah yang menjadi teman untuk seorang pengantin yang memakai helaian kafan? Ditinggalkan sendirian menanggung nasib, meratapi kepergian orang yang menghantar ke kuburnya. Jangan pergi! Mana anakku, isteri dan saudara mara yang dulu mengasihiku? Semua hartaku, siapa yang menghabiskan segala jerih payahku selama ini? Lubang itu terlalu sempit, tempat cacing dan ulat menggigit-gigit.
Siapakah yang mahu menolong aku, menemani dan membela diriku? Di mana sembahyang, puasa, haji dan sedekahku? Datanglah selimuti aku daripada kepedihan seksa ini. Di mana bacaan al-Quran, zikir dan kelembutan lidah yang pernah mengeluarkan kata-kata yang baik?
C) MENANGIS KERANA INGATKAN HARI PERHITUNGAN.
Sabda Rasulullah SAW : "Orang yang muflis di kalangan umatku ialah: Seseorang datang pada hari kiamat dengan pahala sembahyang, puasa dan zakat. Tetapi, dia pernah mencaci si polan, menuduh si polan, menumpah darah si polan dan memukul si polan. Maka akan diberikan kepada orang yang teraniaya itu daripada pahala kebaikan orang tadi sehingga apabila habis pahalanya, sedangkan belum semua terbayar, maka akan diambil ganti dari dosa orang itu dan dibebankan kepadanya dan dia dicampakkan ke dalam neraka kerananya." (HR Muslim)
Ingatlah keaiban diri yang terlalu banyak untuk dihitung, jangan sibuk menyebut aib orang lain. Semua orang di sekeliling kita tidak dapat menolong kecuali amal ibadat yang dilakukan dengan keikhlasan.
Pada tengah malam yang dingin, bangun dan berdirilah tanpa diketahui oleh manusia yang asyik bermimpi, sujud dan bacalah doa yang panjang bersama bacaan al-Quran dan zikrullah juga istighfar.
Amalan ini menjadi kebiasaan Rasulullah SAW dan sahabatnya serta menjadi ikutan orang salih yang mahukan ketenangan jiwa pada akhir zaman ini. Ubati kegelisahan, tekanan dan kesakitan jiwa dengan menangis, solat dan zikrullah.

Dikeluarkan oleh Syukbah Dakwah dan Pendidikan, Masjid Negeri Sabah. Siri 48/06

Mohon Ampun, Tutup Keaiban Dosa Daripada Terdedah

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud:

"Dan (juga) orang-orang yang apabila menerjakan perbuatan keji atau menganiaya
diri sendiri, mereka ingat akan Allah, lalu memohon ampun terhadap dosa-dosa
mereka & siapa lagi yang dapat mengampuni dosa selain daripada Allah?"
(Surah Ali-Imran:135)

Istighfar bererti minta ampun kepada Allah SWT. Istighfar juga bererti minta ditudung (ditutup) segala kesilapan atau kesalahan.Minta dilindung supaya ketika dibangunkan dari kubur di Mahsyar kelak, segala keaiban tidak terdedah kepada umum.

Dalam ayat 135 surah Ali Imran, Tuhan menjelaskan sifat baik di kalangan orang beriman yang 'ashi (derhaka), apabila melakukan perkara keji atau menganiaya & dedah diri kepada bahaya api neraka. Lalu ingat & mohon ampun (istighfar) kepada Allah SWT minta ditudung dosanya. Sesal kepada Tuhan kerana derhaka kepada-Nya, dengan anggota yang dikurnia oleh Allah SWT.

Menderhaka dengan mata kerana memandang perkara yang haram. Menderhaka dengan lidah kerana mengumpat serta berkata perkara haram. Derhaka dengan mulut kerana makan rezeki yang haram. Semua anggota badan adalah kurniaan Tuhan, yang sepatutnya digunakan untuk taat & berbakti kepada-Nya, bukan sebaliknya.

Firman-Nya lagi yang bermaksud:

"Dan barang siapa yang mengerjakan kejahatan & menganiaya dirinya, kemudian
dia mohon ampun kepada Allah, nescaya dia mendapati Allah Maha Pengampunan lagi
Maha Penyayang" (Surah An-Nisa:110)

Pada ayat tersebut menjelaskan bahawa orang yang telah melakukan kejahatan atau menzalimi diri, kemudian ingat kepada Allah SWT & beristighfar akan mendapati bahawa Allah SWT itu satu Zat yang sangat suka mengampunkan dosa, serta amat Kasihan Belas kepada manusia. Mukmin yang 'ashi hendaklah berkeyakinan bahawa dosanya akan diampunkan & dilindung daripada pandangan ramai, dengan syarat mereka menyesali & taubat bermua daripada hati yang telah insaf.

Sepenuh hati berazam tidak melakukan dosa lagi, lantas lisannya menyebut 'Astaghfirullah' atau 'Lailaha illa anta inni kuntu minaz zolimin' atau 'Allahummaghfirli wa liwalidaiyya'.
Atau katalah apa saja yang menunjukkan mereka tidak akan mengulangi kesalahan & kesilapan yang telah dilakukan. Insya-Allah, Tuhan akan terima taubat & ditudung-Nya dosa mereka. Diberi keupayaan menentangnya ketika hati teringin melakukannya.

Timbul rasa malu & gerun, akhirnya akan jadi manusia yang patuh & taat kepada Allah SWT. Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Maka bertasbihlah dengan memuji Tuhanmu & mohon ampun kepada-Nya.
Sesungguhnya Dia Maha Pengampun" (Surah An-Nashr:3

Segala kerja bermula daripada anggota zahir atas dorongan hati. Jika bertasbih & beristighfar terbit daripada sanubari insaf, hasil daripada sikap tersebut dalam jangka masa yang tidak lama, akan terbit rasa malu kepada diri untuk mengingkari istighfar yang diucapkan.

Firman Allah SWT yang bermaksud:

"Dan yang memohon ampun pada waktu sahur (sebelum fajar)" (Surah Ali Imran:17)

Sifat orang mukmin ialah mereka berusaha bangun sebelum fajar untuk beristighfar kepada Allah SWT. Boleh beristighfar pada siang hari, tetapi kemungkinan beristighfar sekadar meniru orang lain. Adapun bangun sebelum fajar adalah lambang keikhlasan kepada Allah SWT, ini kerana kebanyakan manusia masih tidur.

Sesetengah sifat orang mukmin ialah hanya sedikit tidurnya pada waktu malam. Orang yang berkeadaan begini pada siang harinya tak mungkin melakukan perkara yang bertentangan dengan syariat Allah SWT. Sebaliknya jika seseorang beristighfar & berzikir pada waktu malam kerana tarik perhatian jiran sebelah, supaya jirannya tahu dia bangun beramal waktu malam, nescaya tiada kesan yang positif pada siang harinya, kerana dia beramal sekadar tarik perhatian manusia.

Rasulullah SAW amat gemar beristighfar dengan :
"Subhanaka Allahumma wa bihamdika Ighfirli. Innaka antat tauwwabur Rahim"
Bermaksud: Maha suci Engkau (daripada sifat kekurangan), ya allah Tuhanku, dan aku memuji Engkau wahai Tuhanku ampunilah (segala dosa)ku. Sesungguhnya Engkau amat penerima taubat lagi Maha Penyayang.

Lafaz istighfar hanya dihujung kalimah berbunyi "Ighfirli", tetapi dimulai dengan kata-kata sanjungan & bunga pujian.
Iaitu tasbih mensucikan Allah SWT dari segala sifat kekurangan & kelemahan. Bertahmid memuji-Nya dengan segala kemuliaan yang tidak terhingga. Sebelum meminta sesuatu daripada Tuhan lebih dahulu memuji-Nya dengan kata sanjungan. Inilah kaedah yang amat disukai oleh Allah SWT kerana meletakkan-Nya di tempat paling suci & mulia, sesuai dengan sifat Keagungan Zat-Nya.

Justeru jika seseorang itu rajin bertasbih menyebut 'Subhanallah' dengan penuh kesedaran, misalnya menyebut 'Subhanallah' yang bermaksud Maha Suci Allah dari kejahilan, bererti Dialah Tuhan yang Maha Berilmu. Sebut berulangkali 'Subhanallah' Maha Suci Allah dari sifat kelemahan yang lain, bererti Dialah Tuhan penuh dengan segala sifat Kesempurnaan. Sanjunglah Allah SWT dengan tasbih & tahmid

Taken from: Muaidzah oleh Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat - Harakah bil 1432
source: http://laman-annur.blogspot.com/2009/04/mohon-ampun-tutup-keaiban-dosa-daripada.html


Thursday, April 23, 2009

Dendam.

taken from http://www.rediesh.com/wanita-yang-dicintai-iblis

(Wanita Pendendam).
1. Pengertian dendam
Dendam ialah apabila hati seseorang itu merasa sangat berat terhadap seseorang lain seperti membencinya, menjauhi diri darinya, dan sifat itu akan kekal bersemadi di dalam hati orang itu dan tidak padam-padam.
2. Keburukan-keburukan Dendam
Dengan itu jelaslah bahawa sifat dendam itu berpunca dari sifat marah yang tidak dikekang atau diredhakan dengan segera. Sifat dendam ini akan menimbulkan berbagai perkara mungkar antaranya:
Perasaan hasad atau dengki dalam diri, sehingga pendengki itu merasakan tidak senang bila melihat seseorang berada di dalam kenikmatan, lalu ia mengharapkan terhapusnya nikmat itu daripada orang itu. Dengan makna yang lain seorang yang menyimpan perasaan hasad tidak suka melihat orang yang didengkinya itu hidup senang lenang, sebaliknya merasa gembira apabila orang yang didengkinya itu ditimpa kesusahan. Kelakuan ini adalah contoh dari kelakuan orang-orang munafik.
Pendengki itu bukan saja menyimpan perasaan hasad dengki dalam dirinya, malah ia merasakan senang sekali apabila orang yang didengkinya itu ditimpa sesuatu kecelakaan atau bencana.
Pendengki akan menjauhi dan memutuskan perhubungan dengan orang yang didengkinya; tidak mahu bergaul dengannya.
Pendengki akan mengucapkan kata-kata yang tidak patut terhadap orang yang didengkinya, iaitu samada berbohong, mengumpat, mendedahkan rahsia lawanya, mengejek, menjatuhkan kehormatan dan sebagainya.
Pendengki akan menganiaya lawannya, samada dengan memukulnya atau sebagainya.
Pendengki akan menahan hak milik orang yang didengkinya, seperti menahan hutang yang patut dibaya, enggan mengembalikan amanah yang diserahkan kepadanya dan sebagainya. Sesungguhnya perbuatan seperti di atas itu adalah haram dilakukan dan ianya merupakan perbuatan iblis terkutuk.
3. Orang Pendendam Menjadi Rakan Iblis
Sekiranya orang yang berdendam itu dapat menguasai dirinya dari perbuatan-perbuatan buruk yang disebutkan di atas, tetapi masih memiliki perangai yang tidak baik seperti sengaja tidak mahu bermuka manis terhadap orang yang didendamnya itu, tidak belas kasihan terhadapnya, tidak mengambil berat terhadap dirinya dengan menunaikan segala keperluannya, tidak bersedia membantu pada perkara yang memberi kebaikan kepada orang itu, maka itu menandakan sifat dendamnya masih ada. Semua perkara yang disebutkan itu akan menjatuhkan darjat seseorang dan akan melenyapkan pahala yang banyak, seterusnya ia menjadi rakan-rakan iblis.
Pernah berlaku, apabila Saidina Abu Baka As-Siddiq r.a bersumpah tidak akan memberikan bantuan (harta) kepada Misthah yang masih tergolong kerabatnya, kerana suatu penganiayaan yang dilakukan oleh Misthah, maka Allah menurunkan ayat-Nya yang bermaksud:
“Janganlah sampai bersumpah orang-orang yang mempunyai kelebihan dan kekayaan di antara kamu, kerabat, orang-orang miskin dan orang-orang yang berhijrah pada jalan Allah, tetapi hendaklah mereka memaafkan dan berlapang dada, tidakkah kamu suka, Allah Maha Pengampun dan Penyayang,”
(An-Nur: 22)
Sebaik sahaja firman itu disampaikan kepada Saidina Abu Bakar, maka beliaupun akur dan redha dengan pengampunan Allah itu. Lalu beliaupun kembali menyambung semula bantuannya terhadap Misthah, meskipun Misthah telah melakukan penganiayaan terhadap beliau.
Ayat di atas memberikan pengajaran kepada kita supaya jangan menaruh dendam, yang perlu hendaklah berlapang dada dan suka memaafkan. Teruskanlah melakukan kebaikan sekalipun mendapat penganiayaan. Bahkan kalau boleh tambahkanlah kebaikan dari kebiasaan yang dilakukan, sebagai suatu cara untuk menundukkan hawa nafsu dan mengecewakan hasutan syaitan. Bilamana seseorang itu dapat melakukan seumpama itu, maka ia mencapai kedudukan dan darjat para siddiqin.
4. Dendam Perbuatan Haram
Nyatalah dari penjelasan di atas bahawa sifat dendam itu tidak dibenarkan dalam Islam. Mengenainya Nabi SAW bersabda yang bermaksud:
“Orang mukmin itu bukanlah seorang yang pendendam.”
Walau bagaimanapun untuk memberikan penjelasan yang lebih mengenai sifat hasad, maka Rasulullah bersabda yang bermaksud:
“Tiada hasad (dibenarkan berhasad) kecuali dalam dua perkara sahaja, iaitu seseorang yang dikurniakan Allah harta yang banyak, lalu ia menaburkan harta itu pada perkara yang haq/benar, sehinggalah hartanya habis. Dan seorang lagi dikurniakan Allah ilmu, lalu ia mengamalkan ilmu itu dan mengajarkannya kepada orang ramai.”
Apa yang dapat disimpulkan dari maksud hadis di atas bahawa tidaklah dilarang kiranya lelaki mahupun wanita itu mengharap-harapkan sesuatu nikmat yang sama, yang ada pada orang lain untuk dirinya. Maka selagi ia menginginkan nikmat yang sama untuk dirinya dan tidak pula ia mengharapkan lenyapnya nikmat itu dari orang lain, ataupun ia tidak akan membenci kalau orang itu dapat mengecap nikmat itu terus-menerus, maka cita-citanya itu tidaklah dihukum haram, malah ada kalanya dituntut oleh syariat. Sebagaimana firman Allah yang bermaksud:
“Dan dalam (mencari kelebihan) itu, maka hendaklah berlumba-lumba orang yang ingin perlumbaan.”
(Al-Muthaffifin: 26)

Monday, April 20, 2009

Khannas

Apabila melihat ular berbisa di dalam cermin, sudah tentu ular itu tidak akan mampu mematuk kita. Apabila kelihatan api yang marak menyala di dalam cermin, sudah tentu juga ia tidak akan membakar kita. Apa sahaja yang imejnya kelihatan pada cermin, sesungguhnya ia tidak akan mampu menyentuh kita.Itulah perumpamaan yang Bediuzzaman Said Nursi gambarkan ketika berbicara tentang was was.Penyakit was-was sebenarnya sangat berbahaya kepada 'aqidah. Penyakit ini sering menghinggap orang yang lemah dan lembut jiwanya.Pelajar saya di UiTM mermacam-macam ragam dan karenah. Ada segelintir pelajar yang baik akhlak dan solat mereka, tetapi telah dihinggapi penyakit was-was. Kalau mengambil wuduk sehingga berkali-kali, basah lencun baju mereka. Telekung yang dipakai juga basah. Ye lah, sekejap-sekejap dibuka semula, kononnya wuduk tadi tidak rata.Sekejap-sekejap dia teringat, air dibilik air terpercik kena pakaian dan kaki. Ketika ambil wuduk pula, sungguh lama kerana merasakan air belum rata. Kalau mandi wajib juga berkali-kali. Lepas mandi, mandi. Lepas mandi, mandi.Bila masuk bab mengangkat takbir juga... astaghfirullah... terlalu sukar untuk dia yakin. Sehingga mengganggu orang di sebelah ketika solat berjama'ah. Itu baru contoh wuduk, mandi wajib dan takbir.Dalam hal-hal lain juga... was-was sangat berbahaya. Contohnya seorang lelaki, tiba-tiba terbayangkan gambar salib, atau tiba-tiba dia merasakan dirinya telah syirik dan menjadi kafir. Sekiranya dia terus-terusan berfikir perkara itu, ia akan memberi impak yang sangat berbahaya.Sudah menjadi tabiat was-was, apabila semakin difikir...ia akan terus berkembang membesar dan semakin besar.Sebenarnya was-was dan khayalan dalam fikiran yang tidak mempunyai bukti dan sandaran khusus seumpama imej dalam cermin. Is sedikit pun tidak membahayakan manusia. Ia sebenarnya tidak ada. Cuma dasais syaitan yang menipu manusia. Dan dasais syaitan itu sebenarnya sangat lemah (dha'ifa). Tipu daya syaitan boleh dipatahkan dengan keyakinan.Bagi para pelajar saya ataupun sahabat yang dihinggapi was-was, anda perlu tahu sebenarnya kerisauan anda itu sebenarnya tidak ada. Ia hanyalah khayalan yang tidak ada sandaran. Ia hanyalah seumpama imej dalam cermin. Tidak mampu menggugat atau mencederakan.Manusia yang sering risaukan aqidah dan keimanannya, dengan mendengar bisikan-bisikan syaitan kononnya iman telah gugur, atau telah syirik dan lain-lain lagi.... itu juga tidak ada, buktinya hati manusia itu sendiri sangat risau dan gelisah soal aqidahnya. Dia sendiri tidak redha.Soal was-was dan dasais syaitan, mesti segera dicantas dari dalam diri. Sesuatu yang tidak pernah wujud, jangan diwujudkan dengan membesarkan rasa was-was. Sesungguhnya tipu daya syaitan itu sangat lemah. Banyak-banyaklah mencantasnya dengan beristi'azah. A'uzubillahhi min al-syaitan al-rajim.

source: http://albazrah.blogspot.com/2008/01/khannas.html

Wednesday, April 15, 2009

pada siapa patut di letak cinta

Like always, i would say..i m far from good when it comes to words. So, i would rather paste any articles from the internet, than composing on my own. Plus, i don't see myself as a person qualified to write about certain stuff except my life, my experiences as well as my personal opinion. 

Here's something to share about Cinta. An entry specially dedicated for those who's still "searching" for one. 

Oleh Dr Ikmal Online

Sebelum saya membicarakan bab pada siapa patut letak cinta ini saya ingin mengambil kesempatan merakamkan rasa dukacita tentang pemahaman bab “penderitaan mengundang bahagia“.
Jatuh yang tidak ada orang simpati ialah jatuh cinta. Sebab jatuh cinta indah, tidak macam jatuh tangga atau jatuh pokok, sakit. Cinta banyak perkara cinta. Tidak ada siapa pun yang dapat larikan diri daripada mencintai dan dicintai. Kemuncak cinta, ada orang masuk syurga kerana cinta dan tidak kurang ramai orang yang akan dihumbankan ke neraka gara-gara cinta. Cinta yang begaimana boleh bawa seseorang ke syurga dan kenapa ada yang masuk neraka lantaran kerana cinta?
Cinta, rasa yang ada dalam hati yang tidak boleh disukat-sukat. Hati yang merasainya, sehingga boleh terhibur atau terseksa kerananya. Datangnya dari dua sumber yakni dari nafsu dan dari Allah.
Cinta yang diilhamkan oleh nafsu berlaku bila hati kotor, sering melakukan dosa dan tidak pula bertaubat. Sifat-sifat keji seperti sombong, ujub, riak, gila puji, hasad dengki dan lain-lain sifat jahat bersarang dalam hati tidak dikikis, maka ketika itu nafsulah yang akan jadi Tuhan dalam diri sehingga apa saja yang dilakukan mengikut arahan nafsu. Termasuk dalam meletakkan cinta, ukuran yang diberi dan sebab jatuh cinta pun ikut selera nafsu.
Lelaki akan jatuh cinta pada perempuan yang mendedahkan kecantikannya hingga tubuh badan perempuan itu sudah tidak terlindung lagi pada pandangan nafsunya. Cinta diberi ialah untuk mengisi keinginan nafsu seks lelaki kepada perempuan. Begitu juga wanita, jatuh cinta sebab lelaki kaya, handsome bergaya, ada jawatan dan lain-lain keistimewaan yang disenangi oleh nafsu. Lantas cinta diberi dengan harapan mereka dapat tumpang kemewahan dan kesenangan hidup lelaki tersebut. Jelasnya, cinta yang datang dari nafsu ditujukan untuk kesenangan nafsu semata-mata.
Bila bertaut dua cinta yang dilahirkan oleh nafsu yang punya kepentingan masing-masing maka berlangsunglah babak-babak melahirkan rasa cinta. Dari surat menyurat, telefon, ziarah, keluar makan-makan, berdua-duaan di taman bunga, dalam keadaan saling rindu merindukan.. Ketika itu tak ada lain dalam ingatan melainkan orang yang dicintai. Sehari tak jumpa atau tidak telefon rasa berpisah setahun. Sudah tidak malu pada orang sekeliling, apa lagi pada Allah yang Maha Melihat. Lagi mereka tidak ingat dan takut. Lantaran itu mereka sanggup buat apa saja untuk membuktikan kecintaan pada pasangan masing-masing.
Hatta yang perempuan sanggup serah maruah diri konon untuk buktikan cinta pada lelaki. Yang lelaki pula rela bergolok bergadai untuk memberikan kemewahan pada perempuan sebagai bukti cinta. Akhirnya bila yang perempuan telah berbadan dua, lelaki serta merta hilang cintanya. Habis manis sepah dibuang. Kalau pada lelaki pula, ada duit abang sayang, tak ada duit abang melayang. Kalau pada suami pula, isteri seorang suami disayang, bila hidup bermadu kasih pada suami hilang.
Itulah falsafah cinta nafsu yang melulu. Cintanya hanya selagi nafsu ada kepentingan. Cinta inilah yang banyak melanda orang muda yang dilambung asmara. Hingga sanggup buat apa saja, sekalipun bunuh diri, kalau kecewa dalam bercinta. Walhal sedap dan indahnya sekejap. Sakitnya lama, sakit yang paling dahsyat ialah di neraka kelak. Inilah kemuncak cinta yang paling malang dan memalukan.
Cinta nafsu kalau pun boleh bersambung sampai membina rumahtangga ia tetap akan menyeksa. Kerana suami akan cinta pada isteri selagi isteri masih muda, seksi dan manja. Yakni selagi nafsu dapat disenangkan. Bila isteri tua, kulit berkedut, tampal make-up lagi hodoh, rambut putih dan gigi pun sudah banyak gugur seperti opah, badan pun sudah kendur, maka cinta suami akan beralih pada gadis muda yang menarik. Sekaligus hilanglah cinta suami. Menderitalah isteri yang hilang perhatian suami apalagi kalau terang-terang depan mata suami kepit perempuan lain, lagilah isteri terseksa.
Begitu juga si isteri. Cintakan suami selagi suami boleh membahagiakan dan menunaikan segala keinginan nafsu. Selagi suami kasih dan sayang padanya. Andainya suami hilang kuasa, jatuh miskin, masuk penjara atau suami kahwin lagi seorang maka serta merta hilang cinta pada suami. Sebaliknya berbakul-bakul datang rasa benci pada suami yang dulu dipuja tinggi melangit. Begitu mudah cinta bertukar jadi benci. Akibatnya berlakulah pergaduhan, masam muka, kata-mengata, ungkit mengungkit, suami tidak pedulikan isteri dan isteri pun hilang hormat pada suami. Rumahtangga panas dan menunggu saat untuk ditalqinkan ke kubur perceraian. Ketika itu tak ada lagi pujuk rayu, cumbu mesra sebagaimana waktu cinta tengah membara. Maka doktor yang menulis pun dituduh merendahkan wanita, jangan marah tahu.Itulah gara-gara cinta nafsu yang sudah menyusahkan manusia di dunia lagi.
Sebaliknya cinta yang dialirkan oleh Allah ke dalam hati, itulah cinta yang benar, suci lagi murni. Cinta yang bukan diukur ikut pandangan mata, tapi ikut pandangan Allah. Ia bersebab kerana Allah dan cinta diberi pun untuk dapat keredhaan Allah. Cinta begini tiada batasannya. Tidak pula kenal jantina dan kedudukan. Dan cinta lahir hasil dari sama-sama cinta pada Allah.
Boleh berlaku pada lelaki dengan lelaki, perempuan dengan perempuan, lelaki dengan perempuan, antara murid dengan guru, suami dengan isteri, sahabat dengan sahabat, rakyat dengan pemimpin, antara umat dengan Nabinya dan yang paling tinggi antara hamba dengan Tuhannya.
Kalau berlaku antara lelaki dengan perempuan yang tidak diikat oleh tali perkahwinan, mereka tak akan memerlukan untuk berjumpa, bercakap atau melakukan apa saja yang bertentangan dengan kemahuan Allah. Cinta mereka tidak akan dicelahi oleh nafsu berahi. Sebaliknya cinta itu ialah tautan hati yang berlaku walaupun tak pernah jumpa atau baru kenal tapi hati rasa sayang dan rindu. Hati sedih kalau orang yang dicintai ditimpa susah, senang kalau yang dicinta itu senang. Sanggup susah-susahkan dan korbankan diri untuk senangkan orang yang dicintai.
Cinta yang begini ada diceritakan dalam hadis, iaitu seorang lelaki yang bertemu dan berpisah dengan sahabatnya kerana Allah maka mereka akan mendapat perlindungan ‘arasy Allah di padang mahsyar nanti, hari di mana masing-masing orang mengharap sangat lindungan dari matahari yang sejengkal saja dari kepala.
Kalau berlaku antara suami isteri maka isteri akan letak seluruh ketaatan pada suami, berkhidmat dan melayan suami tanpa jemu-jemu. Sama ada waktu suami tunjukkan sayang atau masa suami marah-marah. Sama ada suami kaya atau miskin, atau suami kahwin lagi, cinta isteri pada suami tidak belah bagi. Salah satu contohnya penderitaan mengundang bahagia. Kerana cintanya pada suami datangnya dari Allah hasil dari ketaqwaan isteri. Datanglah ribut taufan, angin putting beliung melanda rumah tangga, isteri tetap memberikan cintanya yang utuh dan teguh.
Begitu juga suami, cinta pada isteri tidak kira isteri itu muda atau tua. Samada pada hatinya. Selagi isteri taat pada Allah, isteri tetap dikasihinya. Kalau dia ada empat isteri, tentulah isteri-isteri akan tertanya-tanya, pada isteri manakah yang suami paling cinta? Kalau cinta itu bersumber dari Allah, tentu isteri yang paling taqwalah yang paling layak dicintai oleh suami lebih dari isteri-isteri lain.
Sumber cinta yang datang dari Allah akan meletakkan Allah yang paling tinggi dan utama. Bila berlaku pertembungan antara cinta Allah dengan cinta pada makhluk maka cinta Allah dimenangkan. Misalnya seorang isteri yang cinta suaminya. Tiba-tiba suami larang isteri melakukan ketaatan pada Allah dalam hal tutup aurat, walhal tutup aurat itu Allah tuntut. Maka kecintaan pada Allah itu akan mendorongnya untuk laksanakan perintah-Nya walaupun suami tidak suka ataupun terpaksa kehilangan suami. Sanggup dilakukan sebagai pengorbanan cintanya pada Allah. Sebaliknya kalau dia turut kemahuan suami ertinya kata cinta pada Allah hanya pura-pura, cintanya bukan lagi bersumberkan Allah tapi datang dari nafsu.
Cinta yang datang dari Allah menyebabkan seseorang cukup takut untuk melanggar perintah Allah yang kecil, apalagi yang besar, lagi dia gerun. Seorang yang sudah dapat mencintai Allah, cinta yang lain-lain jadi kecil dan rendah padanya.
Sejarah menceritakan kisah cinta Zulaikha terhadap Nabi Yusuf. Sewaktu Zulaikha dibelenggu oleh cinta nafsu yang berkobar-kobar pada Nabi Yusuf, dia sanggup hendak menduakan suaminya, seorang menteri. Bila Nabi Yusuf menolak keinginannya, ditariknya baju Nabi Yusuf hingga terkoyak. Akibat dari peristiwa itu Nabi Yusuf masuk penjara. Tinggallah Zulaikha memendam rindu cintanya kepada Yusuf.
Penderitaan cinta yang ditanggung oleh Zulaikha menyebabkan dia bertukar dari seorang perempuan cantik menjadi perempuan tua yang hodoh. Matanya buta kerana banyak menangis terkenangkan Yusuf, hartanya habis dibahagi-bahagikan kerana Yusuf. Sehingga datanglah belas kasihan dari Allah terhadapnya. Lalu Allah mewahyukan agar Nabi Yusuf mengahwini Zulaikha setelah Allah kembalikan penglihatan, kemudaan dan kecantikannya seperti di zaman gadisnya. Peliknya, bila Zulaikha mengenal Allah, datanglah cintanya pada Allah sehingga masanya dihabiskan untuk bermunajat dengan Allah dalam sembahyang dan zikir wirid sehingga terlupa dia hendak melayan kemahuan suaminya Yusuf yang berhajat kepadanya. terpaksa Nabi Yusuf menunggu Zulaikha menghabiskan sembahyangnya, hingga hampir hilang kesabaran Nabi Yusuf lantas ditariknya baju Zulaikha sehingga koyak; sebagaimana Zulaikha pernah menarik baju Nabi Yusuf seketika dulu.
Begitulah betapa cinta yang dulunya datang dari nafsu dapat dipadamkan bila dia kenal dan cinta pada Allah. Cinta Allah ialah taraf cinta yang tinggi. Kemuncak cinta ini ialah pertemuan yang indah dan penuh rindu di syurga yang dipenuhi dengan kenikmatan.
Cinta pada Allah akan lahir bagi orang sudah cukup kenal akan Allah. Kerana cinta lahir bersebab. Kalau wanita cinta pada lelaki kerana kayanya, baiknya, tampan dan sebagainya dan lelaki cinta wanita kerana cantik, baik, lemah lembut dan sebagainya maka bagi mereka yang berakal akan rasa lebih patut dicurahkan rasa cinta pada Allah kerana segala kenikmatan itu datangnya dari Allah.
Ibu bapa, suami, isteri, sahabat handai dan siapa saja yang mengasihi dan mencintai kita, hakikatnya itu semuanya datang dari Allah. Kebaikan, kemewahan dan kecintaan yang diberikan itupun atas rahmat dan kasihan belas Allah pada kita. Sehingga Allah izinkan makhluknya yang lainnya cinta pada kita. Walhal Allah boleh bila-bila masa menarik balik rasa itu dari hati orang-orang tadi kalau Allah mahu.
Allah yang menciptakan kita makhluk-Nya, kemudian diberinya kita berbagai-bagai nikmat seperti sihat, gembira, dan macam-macam lagi. Samada masa kita ingat pada-Nya ataupun masa kita lalai, tetap diberi-Nya nikmat-nikmat itu. Begitulah, kebaikan Allah pada kita terlalu banyak sebagaimana firman-Nya: yang bermaksud:
“Kalau kamu hendak menghitung nikmat-nikmat Allah, nescaya kamu tak terhitung.”
Besar sungguh jasa Allah dari menciptakan, menghidupkan dan memberi rezeki, suami, isteri, rumah dan macam-macam lagi yang dengannya kita boleh lalui kehidupan dengan aman bahagia. Alangkah biadapnya kita kalau segala pemberian Allah itu kita ambil tapi lupa untuk ucapkan terima kasih, lupa pada yang memberi. Walhal, Allah boleh saja menyusah dan menyenangkan kita dengan kehendaknya.
Oleh itu orang yang betul kenal dan beradab, dia malu pada Allah. malah kerana malunya itu dia tidak nampak yang lain lebih hebat dari Allah. Cintanya tertumpu pada Allah, dan penyerahan diri pada Allah sungguh-sungguh. Setiap saat menanggung rindu lalu masanya dihabiskan untuk berbisik-bisik dengan kekasihnya. Sehingga kerana terlalu mendalam cinta pada Tuhan ada hamba Allah yang berkata, “Wahai Tuhan, aku mencintai Engkau bukan kerana takutkan neraka-Mu. tapi kerana Zat-Mu, ya Allah. Aku rela masuk neraka kalau itulah kemahuan-Mu.”
Itulah rintihan hati seorang wali perempuan Rabiatul Adawiyah dalam munajatnya dengan Allah. Dia menyatakan dua cinta tidak boleh duduk dalam satu hati. Bila cinta Allah sudah penuh dalam hatinya, maka tidak ada tempat lagi untuk cinta selain dari itu.
Ada orang mangatakan: “Jika kau berikan hatimu ataupun cintamu pada manusia nescaya dia akan merobek-robekkannya. Tapi kalau hati yang pecah itu diberikan kepada Allah nescaya dicantum-cantumkan-Nya. Ertinya cinta dengan Allah pasti berbalas. Dan Allah tidak membiarkan orang yang dicintai-Nya menderita di akhirat.”
Jadi seorang yang bijak dan beradab akan meletakkan kecintaan yang besar pada Allah, pada Rasulullah dan barulah pada makhluk-makhluk lain di samping-Nya. Itulah perletakan cinta yang betul dan menguntungkan di dunia dan juga di akhirat. Itulah dia cinta kita pada Allah swt yang patut kita letakkan.

 


Design by: Blogger XML Skins | Distributed by: Blogger Templates | Sponsored by Application Monitoring